ADS

Rabu, 16 Oktober 2013

Panduan Menanam Kelapa


Bagi meningkat bekalan kelapa bagi kegunaan tempatan, Jabatan Pertanian mempromosi tanaman kelapa yang dikenali dengan nama kelapa MATAG, hasil daripada kacukan kelapa Rendah Malaya dengan kelapa Tinggi Tagnanan dari Filipina.
Varieti-varieti kelapa yang terdapat di Malaysia ialah:-
  1. Kelapa Tinggi Malaya (Malayan Tall )
  2. Kelapa Rendah Merah Malaya (Malayan Red Dwarf, MRD)
  3. Kelapa Rendah Kuning Malaya (Malayan Yellow Dwarf, MYD)
  4. Kelapa Rendah Hijau Malaya (Malayan Green Dwarf, MGD)
  5. Kelapa MAWA (Malayan Dwarf X West Afrcan Tall)
  6. Kelapa MATAG (MYD/MRD X Tagnanan Tall)
  7. Kelapa Tinggi Afrika Barat
  8. Kelapa Tinggi Tagnanan
  9. Kelapa Tinggi Rennel
  10. Kelapa Wangi (Aromatic Dwarf)
  11. Kelapa MAREN (MYD.MRD X Rennel Tall)
  12. Kelapa MAMA (MYD/MRD X Malayan Tall)
  13. Kelapa Sawit
  1. KELAPA TINGGI MALAYA

    Kelapa Tinggi Malaya ialah kelapa tinggi yang berasal dari Malaysia dan ditanam meluas di kawasan pantai.  Jenis ini boleh hidup selama 80 hingga 90 tahun.  Pokok bersaiz besar dan tinggi.  Ketinggiannya boleh mencapai 15-18 meter.  Kelapa jenis ini mempunyai pertumbuhan yang cergas serta dapat tumbuh dipelbagai jenis tanah.

    Buah bersaiz besar, berbentuk bulat, berbiku tiga, leper di bahagian bawah serta mengandungi air yang banyak.  Ciri-ciri ini menjadikan ianya sesuai untuk dijual sebagai kelapa muda.  Purata buah setandan ialah 3-5 biji.
  2. KELAPA MAWA

    Kelapa MAWA ialah kelapa hibrid yang dihasilkan daripada pendebungaan silang kelapa Rendah Malaya dan Kelapa Tinggi Afrika Barat.  Ketinggian pokok boleh mencapai sehingga 15 meter.  Warna daun, bunga dan buahnya sama ada hijau atau jingga pucat bergantung kepada pokok induk (Pokok Kelapa Rendah Malaya).  Bilangan buah setandan ialah 14-16 biji.

3.     KELAPA RENDAH MALAYA

Kelapa Rendah Malaya berasal dari Malaysia.  Terdapat tiga jenis Kelapa Rendah Malaya iaitu kuning, merah dan hijau berdasarkan warna buahnya.  Kelapa Rendah Malaya merupakan pokok kelapa yang bersaiz kecil dan ketinggiannya boleh mencapai sehingga enam meter.  Saiz buahnya kecil manakala bilangan buah setandan boleh mencapai sehingga 15 biji atau lebih.  Pada masa ini pokok Kelapa Rendah Malaya tidak ditanam secara komersil dan hanya digunakan sebagai pokok hiasan dan pokok induk dalam pengeluaran benih hibrid kelapa seperti MAWA dan MATAG.
 
4.     KELAPA WANGI (KELAPA PANDAN)

Kelapa Wangi ialah kelapa jenis rendah yang diperkenalkan dari Thailand pada tahun 1971.  Di Thailand kelapa ini dipanggil sebagai 'Makprow Nam Horm' dan di peringkat antarabangsa dikenali sebagai 'aromatic dwarf'.  Keistimewaan kultivar kelapa wangi ialah isi dan buahnya berbau wangi pandan dan sesuai untuk diminum dan dimakan segar.  Ketinggian pokok boleh mencapai 6 meter.  Tandan dan buah berwarna hijau dan buahnya kecil berbentuk bulat berbiku tiga. 

Penanaman kelapa ini boleh dijalankan secara kepadatan tinggi dengan jarak tanaman 6 m x 6 m.  Ia mula mengeluarkan hasil apabila mencapai umur 3-4 tahun selepas ditanam di ladang.  Ketika berumur 3 tahun pengeluarannnya hanya 40-50% dan mencapai 100% apabila berumur 4 tahun.  Pokok kelapa wangi mengeluarkan 12-18 jambak bunga setahun.  Purata bilangan buah setandan di antara 10-15 biji tetapi boleh berkurangan pada musim kemarau atau jika kawasan dibanjiri air.  Setahun (tahun ke 13) ia boleh mengeluarkan 130-175 biji buah kelapa muda sepokok.  Dalam satu hektar (208 pokok) jumlah pengeluaran boleh mencapai 36,000-49,000 buah kelapa muda setahun.  Kandungan air bagi sebiji ialah lebih kurang 330 ml.  Anak kelapa pokok wangi boleh dikenali melalui bau pandan pada hujung akar yang dihancurkan. 

Melihat tandan buah-buah kelapa muda biasanya boleh dipetik pada umur 6-6 1/2 bulan selepas persenyawaan.  Kaedah yang digunakan ialah dengan melihat tandan buah serta saiz buah kecil (T-2) dan pembentukan seludang (T-3) di atas tandan buah kecil tersebut.  Tandan kelapa muda yang dipetik (T-1), tandan buah kelapa kecil (T-2) dan seludang (T-3) adalah selari atau terletak di atas satu sama lain.

5.    Pengedar dan pembekal anak benih kelapa pandan:

Untuk tempahan sila hubungi Ketua Stesen,
Pusat Pembangunan Komoditi Telok Bharu
36400 Hutan Melintang, Perak
Tel:  +605-6421100


Peringkat yang sesuai untuk kelapa botak
Di peringkat ini seludang (T-3) terbentuk penuh (70-90 cm) panjang tetapi belum memecah.  Di bawah seludang ini terdapat tandan buah kecil (T-2) di mana saiz lilitan adalah diantara 18-24 cm atau sebesar bola tenis.  Dengan ini tandan yang sebaris di bawah iaitu T-1 boleh dipetik untuk menghasilkan kelapa botak.

Peringkat yang sesuai untuk kelapa telur
Di peringkat ini seludang (t-3) telah pecah dan mengeluarkan mayangnya sebaris di bawah T-3 terdapat tandan buah kecil (T-2) di mana saiz lilitan adalah besar sedikit iaitu antara 22-26 cm, dengan ini tandan yang sebaris di bawah (T-2) iaitu (T-1) adalah tandan yang sesuai untuk menghasilkan kelapa telur.

*Benih kelapa ini boleh didapati daripada Pusat Pembangunan Komiditi, Teluk Bharu, Perak.
6.    Petua Memilih Kelapa Pandan
(sumber:  Wawasan Pertanian Bil. 10 Vol.1 Jilid 11)
7.    Sekiranya anda ingin membeli anak benih kelapa pandan dan tidak yakin sama ada benih yang dijual itu benih kelapa pandan atau tidak, ada satu petua yang boleh anda lakukan.  Patahkan sedikit bahagian hujung akar muda daripada anak pokok yang hendak dibeli.  Gentil bahagian akar yang dipatahkan tadi dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk sehingga hancur dan hidu baunya.  Sekiranya benih itu benar benih kelapa pandan anda pasti dapat menghidu bau harum daun pandan.  Selain bahagian akar, bahagian daun anak pokok benih kelapa pandan juga boleh dilakukan perkara yang sama tetapi biasanya pengusaha tapak semaian tidak membenarkan kerana akan mencacatkan anak benih.  Bau harum pandan lebih kuat di bahagian daun berbanding bahagian akar.(sumber:  Wawasan Pertanian Bil. 10 Vol.1 Jilid 11)
KELAPA MATAG
Kelapa MATAG ialah kelapa hibrid yang dihasilkan daripada pendebungaan silang Kelapa Rendah Malaya dan Kelapa Tagnanan.  Ketinggian pokok MATAG boleh mencapai 15 meter.  Daun, bunga dan buahnya berwarna sama ada hijau atau jingga pucat, bergantung kepada jenis pokok induk Kelapa Rendah Malaya.  Hasil purata bilangan buah kelapa dan berta kopra adalah lebih tinggi daripada hibrid MAWA. 

Kelapa MATAG boleh mengeluarkan antara 25 hingga 30 ribu biji buah setahun sehektar.  Buah kelapa yang dihasilkan sesuai untuk pelbagai kegunaan seperti untuk air kelapa muda, pengeluaran santan dan juga untuk kelapa (kopra).

Varieti ini mempunyai ciri-ciri agronomi yang baik seperti pertumbuhan yang 'robust' dan 'vigorous' di ladang.  Dengan pengurusan ladang yang baik dan hujan yang mencukupi, kelapa MATAG mula berbunga pada tahun ke 3 dan proses penuaian bolehlah dilakukan pada tahun ke 4.

Kelapa MATAG sesuai ditanam mengikut sistem penanaman tiga segi sama atau 'double hedge row pattern' sekiranya mengutipan hasil dirancangkan secara mekanisasi. (sila lihat rajah sistem tanaman). Kepadatan optimum yang disyorkan ialah 178-180 pokok sehektar.

Berbanding dengan kelapa MAWA, kelapa MATAG mengeluarkan buah yang lebih besar daripada MAWA walaupun isinya sama tebal.  Hasil MATAG pada enam tahun pertama didapati agak rendah sedikit (61-139 biji sepokok) daripada MAWA (75-151 biji sepokok).   Walau bagaimanapun, hasil kelapa MATAG meningkat mulai tahun ke tujuh ke atas, iaitu 153 biji sepokok dan boleh mencapai sehingga 161 biji sepokok berbanding dengan 157 biji bagi kelapa MAWA.

Dari segi pengeluaran kopra pula, MATAG mengeluarkan hasil kopra yang rendah pada enam tahun pertama iaitu 12.1 - 36.4 kg. berbanding dengan 16.4 - 33.0 kg. kopra bagi kelapa MAWA.  Selepas tahun ke 7 dan ke atas, hasil kopra daripada kelapa MATAG lebih tinggi, iaitu 42.2 kg. berbanding 34.3 kg. kopra daripada kelapa MAWA.

Secara keseluruhannya, kelapa varieti MATAG memberikan hasil buah kelapa yang tinggi dalam jangka masa panjang.  Saiz buah MATAG yang besar, bukan sahaja memberi kelebihan dari segi kos mengutip dan mengopek kulit, tetapi juga popular di kalangan pengguna domestik.
KEPERLUAN ASAS TANAMAN KELAPA
Faktor Iklim
Tanaman kelapa tidak sesuai ditanam di kawasan yang kurang hujan atau di kawasan yang mengalami musim kering yang panjang kerana kelapa tidak mempunyai akar tunjang.  Tanaman kelapa memerlukan jumlah hujan sebanyak 1300-2300 mm/tahun.  Musim kering yang berterusan selama 3 bulan (<50 mm/bulan) tidak sesuai untuk tanaman kelapa.  Suhu optimum untuk tanaman kelapa ialah 27-28oC.  Kawasan yang terlindung atau sentiasa mendapat tiupan angin kencang juga tidak sesuai untuk tanaman kelapa.
Tanaman kelapa memerlukan sinaran matahari tidak kurang daripada 2,000 jam/tahun dan kelembapan relatif antara 80-90%.  Kebanyakan tanaman kelapa ditanam pada ketinggian kurang dari 100 meter daripada aras laut.  Tanaman kelapa yang ditanam pada ketinggian melebihi ketinggian 900 meter lambat membesar dan mengeluarkan buah yang kecil dan sedikit.
Faktor Tanah
Kelapa boleh ditanam di kebanyakan jenis tanah.  Pada umumnya, tanaman kelapa memerlukan tanah yang rata, bersaliran baik, berprofil dalam, berstruktur lom berpasir dan subur. 
Zon Tanaman Kelapa
Di Semenanjung Malaysia, kebanyakan tanaman kelapa ditanam di kawasan pantai di atas tanah berlempung atau berpasir dan sedikit sahaja ditanam di kawasan pendalaman.  Di kawasan Pantai Barat, tumpuan tanaman kelapa ialah di Bagan Datuk, Perak;   Sabak Bernam, Selangor;   Batu Pahat, Muar dan Pontian, Johor.  Di Pantai Timur pula, tanaman kelapa tertumpu di Bachok, Kelantan;  Kuala Terengganu dan Besut, Terengganu.
PEMILIHAN BUAH KELAPA DAN PENYEMAIAN
Buah yang dipilih mestilah berwarna perang dan cukup matang, bersabut nipis, bebas daripada serangan perosak dan penyakit serta berkocak air di dalamnya.  Buah-buah ini perlu disimpan di tempat terlindung daripada cahaya matahari selama dua minggu untuk percambahan yang seragam.
Buah-buah kelapa perlu dicambah terlebih dahulu sebelum disemai.  Untuk mempercepatkan percambahan, buah kelapa yang dipilih dipotong sedikit bahagian sabut atas (widest hump of the nut) sepanjang 5 cm garis pusat dan lebih kurang 1.0 cm dalam.  Biji benih disusun rapat secara mendatar pada jarak 30 cm dalam baris x 30 cm antara baris di dalam petak semaian dengan mendedahkan satu pertiga bahagian kelapa di atas permukaan pasir.  Penyiraman dilakukan 1-2 kali sehari bergantung kepada keadaan cuaca.  Jangka masa percambahan biji benih mengikut kultivar ialah:-
 
Kelapa Tinggi Malaya
Kelapa Rendah
Kelapa MATAG
Kelapa Pandan
-
-
-
-
10 - 12 minggu
4 - 7 minggu
4 - 6 minggu
4 - 7 minggu
Biji benih yang normal dan cergas dipilih dan dicabut menggunakan cangkul.  Bahagian akarnya dipotong sepanjang 5 cm daripada pangkal sebelum diubah ke polibeg atau tapak semaian ladang.
Semaian menggunakan polibeg
Kaedah ini mempunyai kebaikan seperti kadar pertumbuhan yang lebih cergas dan serata dengan adanya pembajaan, akar tidak rosak semasa menanam di ladang, kerosakan semasa pengangkutan dari tempat semaian di ladang pokok dapat dikurangkan, kadar pertumbuhan akar yang baik dan cepat selepas ditanam dan tiada atau kurang masalah trasplanting shock.  Anak benih di dalam polibeg boleh disimpan selama 10 bulan selepas diubah.
Campuran tanah yang disyorkan ialah 3 bahagian tanah atas dan 1 bahagian pasir.  Bagi setiap polibeg sejumlah 113 gm baja fostat dan 113 gm kapur digunakan.  Pemulihan dan penakaian anak benih di dalam polibeg yang tidak subur dibuat empat bulan selepas diubah dan diteruskan sehingga anak benih berumur 8 bulan.  Naungan 30% - 50% diberi kepada anak benih semasa proses pengerasan.  Anak benih sesuai ditanam di ladang apabila berumur 6-8 bulan.  Anak benih yang cergas dicabut dengan berhati-hati selepas menggemburkan tanah di pangkalnya.  Semasa mencabut anak benih elakkan daripada memegang bahagian pucuk dan daunnya bagi mengelakkan kecederaan.  Jarak susunan polibeg yang disyorkan adalah seperti di bawah:-
Saiz polibeg
Jarak susunan
Jangkamasa disimpan selepas diubah
Jumlah polibeg sehektar
45 cm x 45 cm
45 cm x 45 cm
60 cm x 60 cm x 60 cm
80 cm x 80 cm x 80 cm
6-7 bulan
8-9 bulan
20,000 pokok
18,000 pokok

Semaian di ladang
Untuk tapak semaian di ladang, kawasan yang dipilih hendaklah mempunyai sistem saliran yang baik, tidak ditenggelami air dan berdekatan dengan sumber air.  Petak-petak selebar 1.2 m  - 1.5 m dengan ketinggian 0.2 m dan panjang mengikut kesesuaian tempat dibuat.  Jarak semaian anak benih yang disyorkan ialah 0.5 m x 0.5 m.  Anak benih yang berumur 6-8 bulan, normal dan cergas dicabut dengan berhati-hati selepas menggemburkan tanah di pangkalnya.  Semasa mencabut anak benih elakkan daripada memegang bahagian pucuk dan daunnya bagi mengelakkan kecederaan.  Aktiviti penakaian dijalankan sama seperti penyelasan penakaian anak benih semaian menggunakan polibeg.
Pembersihan tanah
Kawasan yang hendak dimajukan dengan kelapa perlulah kawasan terbuka dan bebas daripada pokok-pokok dan anak pokok kayu yang tidak dikehendaki.  Bagi kawasan bekas kelapa tua, sebaik-baiknya pembersihan kawasan dilakukan dengan menggunakan jentolak.  Jentolak ini akan menumbangkan, menghancur batang kelapa dan menyusunnya mengikut barisan tertentu.  Dengan cara ini proses pereputan dan aktiviti-aktiviti ladang seterusnya dapat dilaksanakan dengan lebih mudah.
Menanam kekacang penutup bumi
Setelah pembersihan kawasan selesai, penanaman tanaman kekacang penutup bumi perlu dijalankan.  Penanaman ini bertujuan untuk mengawal hakisan tanah, kehilangan nutrien melalui larut resap, menyuburkan tanah dengan penambahan nitrogen dalam tanah, mengekal kelembapan tanah, memperbaiki struktur tanah dan pengudaraan dalam tanah serta mencegah pertumbuhan rumpai.
Campuran jenis kekacang yang sesuai ialah 3 bahagian Calapogonium mucunoides, 2 bahagian Pueraria phaseoloides dan 1 bahagianCeutrosema pubescens.  Tanaman kekacang ditanam di kawasan selebar dua meter diantara tiap baris anak benih kelapa.  Bagi tanah BRIS disyorkan menanam kekacang jenis Stylosauthes gracillis secara berbaris dengan jarak satu meter ataupun secara berpetak 1.0 meter x 1.0 meter.  Biji benih kekacang penutup bumi hendaklah yang bermutu tinggi dengan kadar percambahan melebihi 80%.  Rawatan dengan air panas bersuhu 75oc (campuran dua bahagian air yang mendidih dengan satu bahagian air sejuk) disyorkan untuk memecahkan kulit biji benih yang keras.  Rendamkan biji benih di dalam air panas suam selama 2 jam sebelum ditoskan.  Biji benih yang telah dirawat dengan rawatan air panas mesti ditanam pada keesokan harinya.
Pembajaan bagi tanaman kekacang
Umur Tanaman
Jenis Baja
Kuantiti Baja (Kg/Ha)
Semasa menanam (sepanjang laur tanaman)
3-4 minggu
3 bulan
8 bulan
Baja debu fostat asli
12:12:17:2 + TE
Baja debu fostat asli
Baja debu fostat asli
125
63
250
125
Jarak tanaman mengikut sistem tiga segi sama
Jenis Kelapa
Jarak Tanaman
Bilangan Pokok/Ha
Kelapa Tinggi
Kelapa MAWA
Kelapa Rendah
Kelapa Wangi
9 m x 9 m
8 m x 8 m
6 m x 6 m
6 m x 6 m
124
156
278
278
Penanaman di ladang
Saiz lubang tanaman berukuran 0.6m x 0.6m x 0.6m perlu disediakan.  Seterusnya 200 gm baja fostat dimasukkan ke dalam lubang dan gaulkan bersama-sama tanah atas.  Selepas dua minggu, anak-anak pokok kelapa ditanam ke dalam lubang tersebut.  Anak-anak kelapa ini hendaklah terlebih dahulu disiram sebelum ditanam.  Aktiviti menanam perlu dirancang supaya dapat bermula pada awal musim hujan.  Menanam anak kelapa dijalankan dengan meletak anak pokok ke dalam lubang tanaman dan ditegakkan.  Tanah dimasukkan ke dalam lubang dan dipadatkan dengan memijak-mijak di sekeliling pangkal anak kelapa.  Elakkan daripada memijak akar pokok.
Pemangkasan
Aktiviti pemangkasan dijalankan secara minima dengan penumpuan kepada pembuangan pelepah-pelepah tua sahaja.

KAWALAN PEROSAK SERANGGA
Serangan yang teruk boleh menyebabkan pokok berbuah kecil, tidakk mengeluarkan buah atau boleh menyebabkan mati.  Perosak-perosak serangga yang penting bagi tanaman kelapa adalah seperti berikut:-
  • Kubang Tanduk (Orycetes rhinocerous)
    Warna hitam berstruktur sumbu di atas kepalanya.  Menyebabkan kerosakan dengan mengorek ke dalam pucuk dan memakan tisu-tisu lembut kelapa.  Apabila pelepak membesar, daun kelapa akan membentuk seakan-akan kipas.  Serangan yang teruk menyebabkan air bertakung di dalam lubang yang dikorek.  Pucuk akan rebut dan musnah.

    Tindakan:
    Semua batang kelapa yang tumbang / dipotong perlu dipotong kecil-kecil dan bakar (menghapuskan tempat pembiakan kumbang tanduk di ladang).  Bagi pokok yang masih kecil, letakkan 1-2 biji 'moth ball', 3-4 butiran racun carbofuran di pelepah muda bagi mengurangkan serangan kumbang tanduk.
     
  • Kumbang Jalur Merah (Rhynchophorus schach)Mempunyai kepak berwarna hitam, torek berwarna hitam dengan jalur-jalur merah.  Larva memakan pucuk sehingga boleh menyebabkan pokok mati.

    Tindakan:
    Suntik batang kelapa dengan racun monocrotphos / methamidosphos sebanyak 5-10 ml/pokok.  Bagi pokok yang masih kecil, letakkan 3-4 butiran carbofuran pada lubang di pucuk pokok bagi membunuh serangga ini.
     
  • Rama-rama Artona (Artona catoxantha)Berwarna merah perang dan hujung kepak berwarna kuning.  Larva memakan daun kelapa daripada bawah dan meninggalkan kesan makan yang berlajur-jalur di atas daun.  Daun yang teruk diserang akan kelihatan seperti terbakar.

    Tindakan:
    Jika serangan berlaku di musim kering, kawal secara suntikan batang dengan racun monocrotophos (azordin) atau metamidophos (tamaron) pada kadar 5-10 m/pokok (sebelum larva membentuk pupa).  Hujan lebat semasa serangan berlaku mengawal perosak ini menjatuhkan larva ke tanah.
     
  • Ulat Beluncas (Setora nitens)Berwarna perang dan bertelur di bawah daun kelapa.  Larva memakan daun daripada tepi ataupun tengah sehingga tembus dan meninggalkan bergerigi pada daun.

    Tindakan:
    Kawal secara suntikan batang racun monocrotophos atau metamidophos pada 5-10 ml/pokok.
     
  • Rama-rama Haidari (Hidari irava)
    Berwarna perang dengan empat titik kuning di tengah-tengah kepak.  Larva hidup di bawah lipatan daun kelapa dan memakan daun daripada atas ke bawah dengan tanda daun tingga lidi.

    Tindakan:
    Tiada kawalan kimia disyorkan bagi perosak ini.
     
  • Kumbang Plesispa (Plesispa reichei)Berbadan leper dan berwarna coklat tua. Larva berwarna kuning.  Dewasa dan larva memakan permukaan daun menyebabkan daun-daun sedikit bergulung.  Terdapat tompok-tompok bekas makan di atas daun.  Serangan pada anak benih boleh menyebabkan pokok terencat.

    Tindakan:
    Tiada kawalan kimia disyorkan bagi perosak ini.
     
  • Kumbang Tandok (Oryctes rhinoceros, L)Sila lihat ulasan mengenai kumbang tandok di sini (klik) !
     
KAWALAN PENYAKIT
  • Bintik-bintik Daun:
    Jarangkan anak benih di tapak semaian.  Jika perlu, disyorkan semburan dengan racun kulat Captan pada kadar 0.2% bahan aktif.
     
  • Hawa Bebenang Putih
    Jaga kebersihan dan pengaliran air yang baik di tapak semaian.  Musnahkan anak benih yang teruk diserang.
     
  • Lagi Penyakit-penyakit Kelapa
    Sila klik di sini untuk maklumat seterusnya!

KEMATANGAN BUAH
Bagi semua jenis kelapa, buah matang dalam masa 14 bulan selepas seludang pecah.  Buah yang matang boleh dikenali dengan perubahan warna kulit daripada warna hijau kepada warna keperangan dan terdengar bunyi kocakan air apabila buah digoncang.  Di ladang-ladang, kutipan hasil dibuat 45 hari sekali iaitu 8 kali setahun, kerana jika kutipan dibuat 60 hari sekali didapati banyak buah yang telah gugur.
Kelapa jenis rendah mula berbuah 4 tahun dan kelapa jenis tinggi 6 tahun selepas menanam dan jika dijaga dengan sempurna akan berbuah sehingga berumur 60 tahun atau lebih.  Kelapa jenis MAWA pula mulai berbuah selepas 3 1/2 tahun.
PENGENDALIAN PASCA TUAI
Pengendalian di rumah pembungkusan:

Buah kelapa dikutip dan dihimpun di ladang dan dihantar ke rumah pembungkusan untuk digredkan.  Buah kelapa digredkan kepada Gred A, AB, ABC, ABCD / LONG dan Kelapa Belah berdasarkan lilitan buah seperti berikut:-
 
Gred
Lilitan (cm)
Harga (sen)
A
AB
ABC
ABCD /LONG
Kelapa Belah
Lebih 45 cm
40-45 cm
35-40 cm
30-35 cm
 
26
24
22
16
14
Pembungkusan dan pengangkutan hasil
Buah-buah kelapa tidak dirawat atau dibungkus selepas dikutip.  Buah-buah kelapa tua diangkut dengan lori.  Tandan kelapa muda juga diangkut dengan lori tanpa pembungkusan.

Pusat Komoditi Teluk Bharu - Pengeluar Benih Kelapa Pandan di Perak
Stesen Pembangunan Komoditi Teluk Bharu yang ditubuhkan pada tahun 1965 dengan keluasan 80 hektar mempunyai germplasma kelapa Matag, Mawa, Maren, Tagnanan, West African Tall, Renell, Rambai, Manis, Macapuno dan pelbagai asessi Malayan Tall.  Terdapat blok Kelapa Pandan seluas 15.25 ha. dengan bilangan 3,500 pokok yang digunakan untuk pengeluaran benih.  Stesen ini mengeluarkan benih Kelapa Pandan diantara 15,000 hingga 30,000 anak pokok setahun bagi menampung keperluan seluruh Malaysia khususnya projek kelapa Jabatan Pertanian.
Anak benih berumur lebih 120 hari yang telah lulus peringkat penakaian sedia untuk edaran dan dijual dengan harga RM4.00 sepokok.   Untuk tempatan, sila hubungi

Panduan Menanam Selom

PENGENALAN

Selom (Oevanthe javanice) adalah dari keluarga Umbelliferae. Ia merupakan sayuran ulam pembuka selera yangsangat digemari terutama oleh orang-orang melayu. Selom juga digunakan sebagai ramuan nasi ulam dan laksa.

Selom biasanya tumbuh liar di tempat-tempat lembap seperti di tepi paya dan sawah tetapi kini ia ditanam secara teratur untuk kegunaan harian dan untuk jualan di pasar. Ia mengandungi banyak zat terutama vitamin C dan zat galian. Ia sunang ditanam dan mudah dijaga.

KEADAAN POKOK

Selom merupakan tanaman herba yang tumbuh menegak mencapai sehingga 150 cm. Ia mempunyai batang yang berongga berwarna hijau. Buku yang terdapat pada batang mengeluarkan akar sekiranya di rendam di dalam air.

Daunnya berbentuk bujur telur, bergerigis di tepinya dan hujungnya tirus. Sekiranya diramas daun mengeluarkan bau yang sedap. Bunganya kecil berwarna putih tersusun dalam satu jambak.

TANAH DAN PENYEDIAANNYA

Selom boleh tumbuh di kebanyakan jenis tanah tetapi paling sesuai ditanam di tanah yang subur, berkeadaan lembap, banyak mengandungi bahan organik serta mempunyai saliran yang baik.

Ia elok ditanam di atas batas yang telah digemburkan berukuran 120 cm lebar, 20 cm tinggi dan panjangnya 7.5 m atau ikut keadaan tanah.

PENANAMAN

Selom selalunya ditanam dengan menggunakan keratan-keratan. Panjang keratan lebih kurang 20 cm. Tanamlah dua atau tiga keratan selubang dan kejapkan tanah di sekeliling keratan selepas menanam. Keratan-keratan ini boleh juga disemai dahulu di dalam bekas berpasir untuk menggalakkan pengeluaran akar dan kemudiannya diubah ke batas.

Biji benih boleh jugan digunakan. Bagaimanapun menanam dengan keratan akan lebih cepat mengeluarkan hasil. Selom bolehlah ditanam berbaris-baris iaitu dengan jarak 25 cm antara pokok dan 25cm antara baris.

PENJAGAAN

Menyiram

Di peringkat awal pertumbuhan pokok selom memerlukan air yang cukup untuk membesar dengan sempurna. Siram pokok dua kali sehari iaitu di sebelah pagi dan sebelah petang. Biasanya keratan-keratan batang akan mula berakar dua atau tiga minggu selepas ditanam. 4 hingga 6 minggu kemudian apabila pokok-pokok ini sudah tumbuh, penyiraman boleh dikurangkan kecuali bila keadaan terlalu kering.

Membaja

Pembajaan adalah perlu untuk pertumbuhan yang cepat, subur dan pengeluaran hasil daun yang tinggi. Sebagaipanduan umum, syor pembajaan seperti berikut boleh digunakan:

Jenis Baja

Baja-baja organik seperti najis haiwan yang reput (tahi ayam atau tahi lembu) dan baja-baja kimia atau dagangan boleh digunakan. Baja organan meningkatkan kesuburan tanah manakala baja kimia membei makanan yang cukup untuk pokok. Baja kimia yang seimbang kandungan NPK samada dalam bentuk campuran atau sebatian adalah sesuai untuk hasil daun yang tinggi.

Kadar dan Cara Pembajaan Untuk Tanaman Utama

Tabur lebih kurang 5 hingaa 8 kg baja yang reput ke atat tiap-tiap batas dan digaul ke dalam tanh seminggu sebelum menanam.

Semasa menanam, tabur baja N:P2O5:K2O 15:15:15 sebanyak lebih kurang 250 g bagi setiap batas di dalam alur-alur yang dibuat di antara baris-baris pokok dan kemudian timbus dengan tanah.

Di minggu ke-3, 6 dan 9, tabur baja N:P2O5:K2O 15:15:15 dengan cara yang sama sebanyak lebih kurang 200 g bagi setiap batas sekali tabur.

Kadar Dan Cara Pembajaan Untuk Tanaman Ratun

Selepas hasil-hasil dipungut, pokok-pokok yang tinggal perlulah dibaja supaya cepat membesar dan membentuk daundaun baru. Kadar baja boleh dicuba seperti berikut:

-Selepas memungut hasil, tabur baja sebanyak lebih kurang 200 g bagi detiap batas.
-Taburkan baja dengan kadar yang sama seperti di atas di minggu ke-3

MERUMPUT

Rumpai yang tumbuh di kawasan tanaman perlu dibersihkan supaya hasil tidak merosot. Rumpai bukan sahaja
bersaing dengan tanaman untuk mendapat zat makanan, air dan ruang tetapi juga ia menjadi perumah kepada musuh
dan penyakit. Gunakan cangkul atau cabut dengan tangan.

MENGAWAL MUSUH DAN PENYAKIT

Selom tidak mempunyai banyak musuh dan penyakit. Bagaimanapun penyakit yang didapati menyerang ialah penyakit kulat jelaga (Sooty mould) yang disebabkan oleh kulat Asteridiella sp. Kerosakannya tidaklah teruk dan pengawalan dengan racun kulat tidak diperlukan.

Belalang dan kumbang daun didapati memakan daunnya tetapi serangan serangga ini tidaklah teruk.

MEMUNGUT HASIL

Selom boleh dipungut hasilnya lebih kurang 3 atau 4 bulan selepas menanam. Potong batangnya dengan
menggunakan pisau yang tajam. Tunas-tunas baru akan tumbuh selepas dipotong.

Hasil seterusnya boleh dipungut 4 hingga 6 minggu kemudian.

Jumaat, 14 Disember 2012

Panduan Menanam Limau



PENGENALAN:
Limau merupakan pokok buah-buahan yang berdaun sepanjang tahun dan bersaiz kecil hingga ke sederhana.  Pokok limau mengeluarkan banyak cabang dan ranting, mempunyai tabiat pertumbuhan dahan dari menegak hingga melempai dan kanopi berbentuk bulat hingga ke bujur.  Pokok limau mempunyai sistem perakaran akar tunjang.
Varieti limau mandarin mempunyai daun berbentuk 'lanceolate/oblong' dengan tiada pembentukan kepak (wing) di tangkai daun.  Pada kebiasannya daun berwarna daripada hijau muda ke hijau tua.  Pada bahagian daun, terdapat kelenjar-kelenjar minyak (oil glands) yang mengeluar aroma yang menarik apabila dilipat atau diramas.
Pokok yang dibiak secara tampang mula berbunga antara 2-3 tahun selepas ditanam.  Bunga terbentuk secara satu-satu atau secara jejambak di celah-celah tangkai daun pada ranting-ranting muda.  Kebiasaannya bunga mengeluarkan bau yang harum.  Bunga mempunyai 5 kelopak yang berasingan, berwarna putih dan terletak di atas kalik.  Stamennya yang banyak dan bercantum dipangkal biasanya berwarna puteh dengan hujungnya (anther) berwarna kuning.  Stigma pula berwarna hijau kekuningan dan mempunyai stil yang sama panjang dengan stamen dan kedua-dua stamen dan stil terdapat di dalam kuntum bunga.
Pendebungaan pokok limau berlaku secara pendebungaan sendiri.  Agen pendebunga ialah serangga seperti kutu trip, hamama dan lebah madu.  Angin juga membantu proses pendebungaan pokok limau.  Stigma bunga berupaya menerima debunga antara 1-3 hari sebelum antesis dan antara 6-8 hari selepas antesis.  Enam hari selepas proses pendebungaan, semua bahagian bunga akan luruh kecuali ovari dan stil.  Ovari akan mula membesar dan stil mulai kering bermula dari bahagian stigma (101-5 hari selepas antesis). 
Biji limau boleh mengeluar 2 hingga 5 anak benih dan salah satu daripada anak benih tersebut terbentuk melalui proses seksual manakala yang selebihnya dihasilkan melalui proses aseksual (necellar embryo). 
VARIETI LIMAU
Varieti-varieti utama limau yang ditanam di Malaysia ialah limau jenis kupas (mandarin) dan jenis potong (sweet orange).  Terdapat sekurang-kurangnya lima jenis limau mandarin yang biasa ditanam.  Jenis limau yang biasa di tanam di dataran rendah ialah Limau Langkat (Citrus suhuiensis).  Limau Langkat dan limau jenis "Kwantung" lebih digemari oleh masyarakat berbanding dengan limau mandarin jenis lain.  Disamping itu, limau madu atau limau wangi sangat memenuhi citarasa pembeli dan didapati amat laris dalam pasaran.  Ini kerana limau madu mempunyai buah yang bersaiz besar, rasa yang manis tidak berasid, kandungan jus yang tinggi dan tidak mempunyai serat dan hampas yang tinggi.
1.      LIMAU MADU (Citrus suhuiensis Hort. ex.Tan)

Sejenis limau Mandarin.  Masalah-masalah yang sering dihadapi oleh petani tanaman limau madu ialah serangan penyakit reput batang phythopthora, penyakit virus tristeza (CTV) dan penyakit 'greening' atau dikenali juga sebagai penyakit inai daun.  Penyakit reput batang phythopthora dan penyakit virus tristeza dapat dikawal dengan adanya pokok penanti yang bersesuaian, akan tetapi penyakit 'greening' masih menjadi masalah besar kepada pengusaha tanaman limau madu yang juga merupakan satu faktor utama kurangnya minat petani dalam mengusahakan tanaman limau madu di Malaysia.

Kematangan Pokok Limau Madu

Walaupun limau tergolong dalam buah-buahan tidak bermusim, umumnya terdapat dua musim utama pengeluaran buahnya yang tinggi.  Di Terengganu, musim utama limau madu ialah pada bulan Mac hingga April dan Oktober hingga November.

Oleh sebab limau madu adalah daripada jenis bukan klimakterik, buahnya perlu dipetik pada peringkat masak kerana proses pemasakan tidak berlaku selepas buah dipetik.  Penentuan peringkat kematangan buah limau biasanya berasaskan tarikh bunga kembang, tekstur buah, perubahan warna kulit, keadaan kelenjar minyak (oil glands) dan uji rasa.  Buah limau madu sesuai dipetik apabila berumur 8-10 bulan selepas bunga kembang.  Apabila matang, kulitnya menjadi lembut terutama pada hujung buah, kelenjar minyaknya jelas kelihatan, kulit menjadi berkilat dan mudah dikupas.

Penuaian dilakukan dengan menggunakan gunting atau sekateur.  Buah dipetik dengan cara memohon tangkai yang agak panjang pada kali pertama.  Pada kali kedua tangkai dipotong lebih rapat dengan permukaan buah.  Jika tangkai yang agak panjang dibiarkan pada buah, tangkai tersebut boleh mencederakan antara satu sama lain semasa berada dalam bekas pengisi seperti bakul atau kotak.  Pemetikan cara merabut atau menarik buah dengan tangan tidak digalakkan kerana boleh mengoyakkan kulit buah.  Buah yang dipetik seelok-eloknya dimasukkan ke dalam bekas yang mampu dibawa oleh pemetik dan digalas pada bahu atau pinggang, atau dimasukkan terus ke dalam bakul atau kereta sorong.  Amalan mencampakkan buah atau membiarkan buah gugur ke permukaan perlu dielakkan kerana ini menyebabkan buah menjadi lebam.
2.      LIUKAN (Citrus reticulata Blanco)

Berasal dari daerah Liuzhou, China dan sangat popular dengan kulit luarnya yang bersih serta cantik dengan berwarna oren.  Namun warna buahnya kekal hijau apabila matang jika diusahakan di kawasan tanah rendah dan mempunyai harga pasaran yang lebih rendah daripada varieti lain.  Varieti limau ini mampu menghasilkan buah yang banyak, tetapi ianya mampu bertahan untuk beberapa musim sahaja dan perlu diganti.  Varieti limau ini juga mudah dijangkiti oleh penyakit 'greening' dan juga penyakit virus tristeza.
 
3.      CHAOZHOU HONEY MANDARIN (Citrus reticulata Blanco)

Berasal dari daerah Chaozhou, Cina.  Menghasilkan buah yang besar seperti limau madu tetapi mempunyai kandungan jus yang tinggi dan tidak berasid.  Varieti ini tidak sepopular varieti limau madu.  Buahnya berasa tawar jika dituai pad musim hujan dan masalah buah kembung merupakan masalah utama dan mudah dijangkiti oleh penyakit 'greening'.
 
4.      KWANTUNG MANDARIN (Citrus reticulata Blanco var.tangerina Hort.ex.Tan)

Ia sangat diminati oleh masyarakat tempatan dan biasanya dibiak secara cantuman tunas dan limau dari varieti ini sangat mudah dijangkiti oleh penyakit virus tristeza.  Varieti ini mampu menghasilkan buah dalam kualiti yang banyak sehingga petani perlu melaksanakan proses penjarangan buah.  Hasil mesti dituai pada masa yang tepat, iaitu ketika buah berwarna oren, dan jika dituai sebelum sampai masanya ianya menghasilkan buah yang berasa masam dan tidak sesuai untuk dipasarkan.
 
5.      PONKAN (Citrus reticulata Blanco var.ponki Hort.ex.Tan)
Limau daripada varieti ini menghasilkan buah yang bermutu tinggi.  Varieti ini paling banyak diusahakan di Cameron Highlands dan kadang-kadang dikenali sebagai Hokkienkam.  Walaupun ia menghasilkan buah yang bermutu tinggi tetapi hasil tanaman kurang memuaskan berbanding dengan varieti limau yang lain.
 
6.      LIMAU PURUT
Limau purut berbau lebih kuat dan tajam.  Berasal dari kepulauan Asia Tenggara, ia merupakan tumbuhan herba yang mula mencipta nama.  Pokoknya mudah dikenali dari struktur daunnya yang berwarna hijau pekat dan berbentuk seperti nombor lapan.  Buah limau purut juga boleh dibezakan dengan mudah kerana buah yang matang berwarna kuning, berbentuk seperti buah pir dan kulitnya menggerutu.  Pokok ini hidup subur di kawasan yang mempunyai pancaran cahaya matahari yang kuat, tidak memerlukan naungan dan boleh hidup selama beberapa tahun.  Lazimnya buah limau purut tidak mengeluarkan jus yang banyak tetapi setitis jusnya setanding dengan 10-15 titis bau dan rasa masam jus limau nipis.  Nama lain bagi limau purut (Citrus hystrix) ialah limau kaffir dan 'leech lime'.
Daun limau purut telah lama digunakan sebagai bahan perubatan dan masakan.  Bau dan rasa ini tidak boleh didapati daripada daun limau yang lain.  Daun limau purut juga pernah digunakan untuk menambah rasa ruak atau arak beras.  Limau purut mengandungi beberapa minyak pati yang mempunyai nilai ubatan yang tinggi antara alfa, beta-pinena, sitronelal, neral dan limonena.  Kajian terbaru menunjukkan ekstrak daun limau purut mempunyai sifat antipertumbuhan kuman, boleh menghalang pembesaran sel kanser, mengurangkan tanda-tanda alahan, mengurangkan tekanan darah tinggi dan menaikkan nafsu makan. 
 LIMAU BALI (Citrus grandis (L) Osbeck)
Limau Bali adalah buah yang terbesar dalam kumpulan citrus.  Ia berasal dari kawasan Asia Tenggara terutamanya Indonesia, China dan Thailand.  Di Malaysia, limau ini dikenali juga sebagai Limau Besar atau Limau Betawi.     
1.      LIMAU NIPIS (Citrus Aurantifolia)
PENGENALAN
Limau nipis (Citrus Aurantifolia) adalah sejenis limau yang sangat digemari di negara ini untuk kegunaan sebagai air minuman dan juga untuk dicampur dalam masakan.  Buahnya kecil dan bulat, berukuran 2.5 - 5cm garis pusat.  Kulitnya berkilat dan licin dan isinya berwarna hijau kekuningan, berair tetapi masam.  Pokoknya pula adalah lebih kurang 5 cm tinggi.
IKLIM
Limau nipis sesuai dengan iklim yang lembab dan panas seperti di negara kita.
TANAH
Boleh ditanam di atas berbagai jenis tanah tetapi didapati lebih sesuai ditanam di atas tanah jenis lom berpasir (sandy loam).
CARA-CARA MENANAM
Membiak:
Limau senang dibiakkan melalui biji tetapi biasanya ia dibiak secara tampang iaitu secara tut.  Jika dibiak secara ini pokok-pokok mengeluarkan buah lebih awal.
Menanam:
Jarak tanaman yang sesuai untuk limau ini ialah 6m x 6m.  Ia boleh ditanam dalam susunan empat segi sama.  Ini menjadikan jumlah pokok sehektar sebanyak 270 pokok.
Gali lubang sebesar 0.4m x 0.4m x 0.2m.  Campurkan 10 hingga 12 kg baja organan ke dalam lubang.  Siram sejurus selepas menanam.  Penyiraman bolehlah dibuat 1-2 kali sehari selama 2-3 bulan pertama.
Selain daripada itu, pembajaan boleh juga dilakukan dengan menggunakan baja organan seperti tahu lembu.  Sebanyak 30-40 kg / pokok / tahun boleh digunakan bagi peringkat tumbesaran (umur pokok 1-3) dan 30-60 kg / pokok / tahun selepas pokok-pokok mula berbuah.
Cantasan:
Catasan untuk membuang pucuk-pucuk air, ranting-ranting mati dan ranting-ranting yang tidak dikehendaki adalah perlu untuk dilakukan.

Panduan Menanam Bawang



PENGENALAN

Bawang merah ( Alium cepa) adalah salah satu bahan penting dalam masakan harian negara ini dan sejenis tanaman yang cepat berhasil. Pada masa sekarang, bawang merah dan bawang putih keseluruhannya diimpot dari luar negara seperti Thailand, Filipina dan India. Mengikut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian, sebanyak 194,300 mt bawang merah diimpot bernilai Rm 267.2 juta iaitu kira-kira 33% daripada jumlah impot negara.

Di Malaysia, tanaman bawang mula diperkenalkan di sekitar tahun 80an dan berjaya mengeluarkan hasil tetapi sehingga kini, penanaman bawang secara besar-besaran belum lagi diusahakan di negara ini. Faktor harga yang terlalu rendah, hasil yang sederhana, kos yang tinggi berbanding dengan bawang yang diimpot menyebabkan penanaman bawang tidak ekonomik untuk diteruskan.

Dalam usaha mengurang impot bahan makanan semasa negara menghadapi masalah kegawatan ekonomi dan
kejatuhan nilai matawang minat terhadap penanaman bawang bagi maksud penggantian impot telah timbul. 

Beberapa percubaan menanam bawang merah dilakukan bertujuan untuk melihat potensi tanaman tersebut khususnya dari segi agro-ekonomik dan menggantikan bawang yang diimpot. Berdasarkan percubaan yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian dibeberapa tempat, didapati bawang sesuai ditanam di tanah berpasir dan tanah mineral asalkan mengandungi bahan organan dan tahap kesuburan yang tinggi. Pengairan yang mencukupi dalam mas alima minggu selepas menanam dan kering setelah pokok berumur 8 minggu adalah
penting. Penggunaan sungkupan seperti jerami padi dapat mengekalkan kelembapan dan mengawal suhu tanah. Kawalan rumpai dibuat pada peringkat awal pertumbuhan dan semasa penyediaan tanah.

BENIH BAWANG

Benih yang bermutu adalah penting. Percubaan yang dijalankan menggunakan benih dari bebawang jenis Thailand, Filipina, China dan India. Pemerhatian menunjukkan penggunaan bebawang sebagai benih tanaman menimbulkan masalah seperti peratus percambahan yang tidak menentu ( antara 60-70 % ) dan tidak serentak, pertumbuhan yang tidak sihat (vigorous) serta melibatkan kos yang tinggi. Walaubagaimanapun bawang jenis India adalah lebih baik dari jenis yang lain dari segi pertumbuhan, ketahanan dari gejala ‘White Tip’ ( kekeringan bahagian hujung daun ) dan peghasilan bawang.

HASIL

Dari segi hasil bawang, pemerhatian yang dijalankan oleh Bahagian Pengurusan Tanah Jabatan Pertanian mendapati hasil adalah diantara 2.8 – 4.2 mt/ha bawang bersih yang telah dkeringkan. Hasil bawang ini boleh dipertingkatkan dengan penggunaan benih bawang yang lebih bermutu.

Dari segi kos pengeluaran bawang, kos keseluruahan ( menggunakan tenaga buruh upah ) dianggarkan RM 12,690 sehektar. Berasaskan hasil bawang sebanyak 3.5 mt/ha dan harga jualan sebanyak Rm 4.00/kg, pendapatan kasar bawang merah semusim ialah sebanyak RM 14,000. Ini memberikan pulangan bersih sebanyak RM 1,310/ha/musim, manakala nisbah kos-faedah 1:1.10.

Melihat kepada kos pengeluaran, hasil dan nisbah kos-faedah, kita dapati aktiviti pengeluaran bawang dengan teknologi yang ada sekarang tidak begitu memberangsangkan berbanding dengan aktiviti pengeluaran lain-lain sayuran seperti kacang panjang atau cili yang memberikan pulangan yang lebih baik.

Bagi membolehkan aktiviti penanaman bawang menjadi lebih menarik dan menguntungkan, beberapa strategi
pengeluaran perlu dilakukan. Antara strategi-strategi ini adalah

  • Mengurangkan Kos Pengeluaran. Salah satu cara mengurangkan kos pengeluaran ialah penggunaan biji benih sebagai bahan tanaman. Analisi menunjukkan kos penggunaan bebawang sebagai bahan tanaman adalah 30-45% daripada kos pengeluaran. Penggunaan biji benih sebagai bahan tanaman boleh mengurangkan kos benih sebanyak 90 % atau 25 -40% kos pengeluaran.
  • Meningkatkan hasil bawang. Percubaan penanaman bawang yang dijalankan masih belum memberikan potensi hasil sebenar bawang. Peningkatan dalam teknik-teknik penanaman dan penggunaan benih tanaman yang bermutu boleh memberikan hasil sehingga 6 mt/ha/musim.



  • Penanaman secara kecil-kecilan.  Perlu diperkenalkan dan digalakkan kepada petani-petani kecil kerana kerana pendekatan ini mampu mengurangkan kos disamping memberi peluang yang lebih baik berdasarkan penjimatan kos oleh sebab penggantian kos tanaga upah kepada kos tenaga keluarga.

Berasaskan fakta yang dibincangkan diatas, penanaman bawang merah di Malaysia mempunyai potensi yang baik. Kita telah mempunyai teknologi yang mampu mengeluarkan hasil bawang merah. Kejatuhan nilai ringgit menjadikan bawah merah impot mahal dan bawang merah tempatan menjadi lebih kos kompetitif. Apa yang perlu dilakukan ialah meningkatkan produktiviti pengeluaran bawang merah supaya ia lebih menarik untuk diusahakan oleh pihak swasta dan juga petani-petani.

Sabtu, 17 November 2012

Menanam Sayur Bendi




PENGENALAN

Bendi yang dipercayai berasal dari Afrika Utara ialah sejenis tanaman sayuran buah yang berlendir. Ia mudah di tanam dan kurang diserang penyakit dan perosak.

Buah dan bahagian-bahagian lain tanaman ini boleh
dipelbagaigunakan seperti buahnya boleh dibuat ulam dan dimasak dengan pelbagai cara; kari, salad dan
digoreng.

Buahnya juga boleh diproses iaitu ditinkan, dibekukan dan dijeruk dengan garam. Lendirnya pula
digunakan sebagai bahan pemekat untuk sos tomato. Di India, batang-batang bendi yang tua dijadikan kertas dan biji-bijinya yang tua dijadikan minuman harian menggantikan kopi.

PENANAMAN

Bendi boleh ditanam dikebanyakan jenis tanah seperti gembur berpasir, tanah liat, tanah gambut dan tanah-tanah lembah sungai yang bersaliran baik.

PENYEDIAAN TANAH

Bajak dan gembur tanah sedalam 15 cm hingga 22 cm. Buat pengapuran jika perlu iaitu 2 minggu sebelum menanam. Sediakan batas. Gaulkan ke dalam tanah baja organik seperti tahi ayam reput sebanyak 3 hingga 5 tan sehektar.

CARA-CARA MENANAM

Tanam biji benih sedalam 2.5 cm di batas. Pastikan dibubuh 2 biji selubang. Jarak tanaman yang disyorkan ialah 90 cm antara pokok. Selepas 2 minggu cabut satu pokok yang kurang subur. Sebanyak 11 gram biji benih diperlukan untuk satu batas berukuran 1.2m lebar dan 30 m panjang.

MEMBAJA

Tabur baja sebatian NPK Blue Special (12:12:17:2) di keliling pokok setiap 2 minggu. Untuk sehektar tanah, 1 tan baja diperlukan.

MENYIRAM

Siram sekali sehari pada waktu petang. Penyiraman penting di peringkat pokok mengeluarkan bunga dan
pembentukan buah.



MERUMPUT

Cabut rumpai jika perlu atau gunakan racun herba. Ikut arahan pada label racun herba tersebut.

SUNGKUPAN

Buat sungkupan daripada jerami padi, daun-daun kering ataupun kepingan plastik bagi mengawal rumpai dan untuk mengekalkan kelembapan tanah.

MEMANGKAS

Setelah semua hasil dipetik, pokok-pokok perlu di pangkas setinggi 40 cm hingga 60 cm dari paras tanah untuk mendapatkan hasil bagi kali kedua. Empat hingga lima tunas baru di biarkan menbesar selepas pemangkasan. Pemangkasan ini diikuti dengan pembajaan.

KAWALAN MUSUH DAN PENYAKIT

Musuh utama tanaman bendi ialah serangga dan perosak seperti ulat pengorek dan kepinding buah yang merosakkan buah-buah bendi pada semua peringkat pertumbuhan buah. Sekiranya serangan teruk, gunakan racun serangga seperti Diazinon.

Penyakit utama tanaman bendi ialah bintik daun yang terdapat pada adaun-daun tua di mana daun-daun ini kelihatan bertompok-tompok hatam dan berjelaga. Penyakit ini boleh di kawal dengan menyembur racun kulat Benomyl. Penggunaan racun-racun hendaklah mengikut arahan label.


PENUAIAN

Buah-buah bendi boleh dituai dengan memotong 2 cm dari pangkal buah. Elakkan dari tercedera kerana lendirnya akan keluar berterusan dan ini boleh menjatuhkan mut buah.

Penuaian mula dilakukan ketika:

a. 50 hingga 55 hari selepas menanam
b. 5 hingga 6 hari selepas bunga berkembang dan berlaku pendebungaan
c. Buah berukuran 10 hingga 12 cm panjang, iaitu buah-buahan masih lembut, hujungnya rapuh, senang
    dipatahkan dan belum berpulur.

Pada peringkat ini buah-buah telah mencapai kadar pertumbuhan yang paling tinggi dan hendaklah dituai supaya pokok-pokok bendi boleh terus mengeluarkan bunga-bunga baru dan seterusnya menjamin pengeluaran buah yang berterusan.

 Hasil dikutip setiap 2 hari sekali dan berterusan sehingga 8 minggu. Jumlah hasil di anggarkan 10 tan hingga 15 tan sehektar.

PENGENDALIAN LEPAS TUAI

Buah-buah yang telah dituai dikumpulkan ditempat teduh dan dimasukkan kedalam bakul ( plastik atau buluh) yang telah di alas dengan kertas atau plastik cerah yang berlubang. Ia hanya boleh di simpan selama 2 hingga 3 hari tanpa dibungkus dengan plastik. Sedikit air perlu di percikkan supaya pengudaraan menjadi lembap.

Buah-buah yang dibungkus dengan beg plastik boleh disimpan selama 7 hari hingga 8 hari dalam keadaan suhu 24oC hingga 26oC dan kelembapan bandingan 70 hingga 75 peratus.