ADS

Rabu, 7 November 2012

Panduan Menanam Limau Purut






PENGENALAN

Limau purut  atau nama botani Citrus hystrix biasa digunakan sebagai rempah ratus di dalam masakan dan ramuan perubatan pelbagai bangsa. Buahnya bulat dan kulitnya berwarna hijau menggerutu @ katak puru, daunnya mengeluarkan aroma yang harum, sesuai dibuat mandian dan perasa dalam pelbagai masakan
.
Ketinggian limau purut boleh mencapai hingga 5 meter tinggi.

IKLIM

Limau nipis sesuai dengan iklim yang panas dan lembab seperti di negara kita.

TANAH

Boleh ditanam di atas berbagai jenis tanah tetapi didapati lebih sesuai ditanam di atas tanah jenis lom berpasir.



CARA-CARA MENANAM

Membiak

 Limau purut senang dibiakkan melalui biji tetapi biasanya ia dibiak secara tampang iaitu secara tut. Jika dibiak secara ini pokok-pokok mengeluarkan buah lebih awal.

Menanam

Jarak tanaman yang sesuai untuk limau ini ialah 6 m x 6 m. Gali lubangberukuran 0.6m x 0.6m x 0.6m dan gaulkan bersama 100g baja tahi ayam reput, 100 g baja triple superphosphate dan 100 g kapur. Tanam anak pokok ke dalam lubang dan padatkan tanah keliling anak pokok.

Jika menanam dalam pasu, sediakan tanah campuran mengandungi 3 bahagian tanah, 1 bahagian tahi ayam reput dan 1 bahagian pasir. Isikan pasu dengan tanah campuran tersebut sehingga 5 cm (2 inci) dari permukaan pasu. Buat lubang dan masukkan anak pokok, rata dan padatkan permukaan keliling anak pokok.

PENJAGAAN

Siram anak pokok pada awal pagi dan lewat petang 1-2 kali sehari selama 2-3 bulan pertama. Di ladang pembajaan dilakukan dengan menggunakan tahi ayam reput sebanyak 5 kg/pokok dua kali setahun bagi peringkat tumbesaran (1- 3 tahun).

Baja urea dua kali setahun sebanyak 50 g/pokok setiap kali pembajaan. Manakala di dalam pasu 1 kg/pokok dua kali setahun dan baja urea 20 g/pokok setiap kali pembajaan. Letak sungkupan daun-daun kering di keliling pokok sebagai sungkupan.

Cantasan dilakukan untuk membuang tunas air, ranting-ranting dan dahan yang berpenyakit atau kurang sihat.

KAWALAN RUMPAI

Bagi pokok-pokok muda, kerja-kerja merumput hendaklah dilakukan dengan mencabut atau menggunakan cangkul dikeliling pokok. Bila pokok sudah cukup besar dan matang, kawalan rumpai secara kimia boleh dijalankan dengan menggunakan racun rumpai.

KAWALAN PEROSAK DAN PENYAKIT

Kutip dan musnahkan serangga perosak yang menyerang pokok serta daun-daun yang dijangkiti oleh penyakit.

HASIL

Pokok mula berbuah antara umur 2-3 tahun iaitu bagi pokok-pokok yang ditanam dari anak tut. Pada tahun ketiga sebanyak 100 g/pokok hasil boleh diperolehi setiap kutipan, manakala pada peringkat umur 5-10 tahun, setiap pokok dapat mengeluarkan hasil sebanyak 500-800 g/pokok/kutipan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan