ADS

Rabu, 7 November 2012

Panduan Menanam Kacang Botor / Botol





PENGENALAN

Ia adalah tumbuhan memanjat separa berkayu, batang berbentuk silinder, licin tanpa bulu, liat, berwarna hijau ketika muda dan bertukar perang setelah tua. Daun jenis majmuk trifoliat, susunan berselang-seli, tangkai panjang, halus.

Anak daun bersaiz sederhana, berbentuk bujur dengan hujung menirus, nipis, berwarna hijau ketika muda dan bertukar hijau tua setelah matang, tepi rata. Bunga majmuk, bersaiz sederhana, kelopak berwarna ungu, terdapat 1-10 kuntum dalam 1 jambak bunga yang keluar dari celah ketiak daun. Buah memanjang, bersegi empat dengan sayap di setiap sisi, sepanjang tepi sayap bergerigi kecil, berwarna hijau ketika muda bertukar coklat apabila tua, mengandungi banyak biji benih di tengahnya. Biji sederhana besar, berwarna hijau ketika muda, coklat kehitaman apabila telah tua, berbentuk bulat membujur, keras seperti biji kacang soya.

Kacang botor (Psophocarpus tetragonolobus D.C.) atau kacang kelisa adalah sejenis sayuran berbuah yang sangat kaya dengan protin dan lemak serta vitamin A dan B. Ianya dipercayai berasal dari Papua New Guinea dan Asia Tenggara.

Pokok kacang botor tumbuh melilit dan memerlukan pancang/kayu junjung untuk memanjat. Ia selalu ditanam sebagai tanaman jangka pendek di kebun sayur atau di tepi-tepi pagar rumah.

Buah potong berukuran 15-20 cm panjang dan mempunyai 4 sayap yang bergerigis. Biasanya buah digunakan dalam masakan dan juga dimakan mentah sebagai ulam.

TANAH

Kacang botor boleh ditanam di berbagai-bagai jenis tanah iaitu dari ringan berpasir hingga kepada tanah lempong serta tanah gambut. Elakkan dari menanam di kawasan yang bertakung air. Tanah yang gembur, subur, baik salirannya dan pH 5.5 – 6.0 adalah paling sesuai.

PENANAMAN

Menyedia Kawasan

Bajak dan gemburkan tanah sedalam 20-30 cm untuk memudahkan akar tumbuh dengan baik. Sediakan batas berukuran 1.3 m lebar, 30 cm tinggi dan panjangnya 7.5 m atau mengikut keadaan kawasan. Jarak antara batas adalah 30 cm.

Menanam

Kacang botor dibiakkan dengan biji benih. Biji benihnya boleh diambil dari buah-buah yang telah cukup tua yang berwarna perang kehitaman. Gaul biji benih dengan racun kulat, contohnya thiram dengan kadar 3 g bagi 100 g biji benih sebelum menanam.

Biji benih boleh ditanam dengan jarak 50 cm antara pokok dan 1 m antara barisan ataupun 60 cm x 60 cm. Tiap-tiap batas mengandungi dua barisan pokok. Tanam terus biji benih ke atas batas sebanyak dua biji selubang, lebih kurang 2.5 cm dalam. Biji benih akan bercambah dalam masa 14 hari. Cabut dan tinggalkan hanya satu anak benih yang sihat pada setiap lubang. Untuk kawasan seluas 0.4 ha lebih kurang 7 kg biji benih diperlukan.

Menyedia Junjung

Untuk mendapatkan hasil yang baik kacang botor perlu diberi junjung. Sokong anak-anak tanaman dengan
menggunakan kayu pancang berukuran 2 – 2.5 m panjang. Condongkan kayu-kayu sokongan yang bertentangan supaya bersilang dan ikat di bahagian atas tempat bertemu untuk mendapatkan sokongan yang kuat. Kemudian lentangkan kayu-kayu pada tiap-tiap tempat persilangan. Pastikan anak-anak tanaman melilit kayu sokongan. Cara ini sesuai untuk kawasan penanaman yang kecil.

Satu cara lagi untuk menyokong pokok adalah dengan sistem trellis. Pacakkan sebatang kayu/tiang-tiang beruti yang berukuran lebih kurang 2.5 m panjang dan bergarispusat 8-10 cm di bahagian tengah kedua-dua hujung tiap-tiap batas.

Pacakkan pula tiang kayu berukuran 0.6 m panjang dan 5-6 cm garispusat di hujung penjuru tiap-tiap batas.
Sambungkang tiang-tiang kayu yang bertentangan antara kedua hujung batas dengan dawai kasar. Gunakan tali rafia untuk membantu anak pokok memanjat junjung.

PENJAGAAN

Menyiram

Siram pokok 2 kali sehari iaitu pagi dan petang kerana anak pokok memerlukan air yang banyak untuk membesar.

Membaja

Pembajaan asas dengan baja organan atau baja asli seperti tahi ayam reput dan kompos sebanyak 7 tan metrik untuk 0.4 hektar atau kira-kira 22.5 kg sebatas yang berukuran 1.3 m x 7.5 m adalah mencukupi.

Baja ini digaulkan ke dalam tanah seminggu sebelum menanam. Untuk baja tambahan gunakan baja kimia iaitu baja sebatian N:P2O5:K2O:MgO 12:12:17:2 + T.E. sebanyak lebih kurang 1.5 kg sebatas atau 
15-20 g/pokok ketika berumur 3, 5 dan 8 minggu. Ini memerlukan lebih kurang 450 kg baja untuk 0.4 hektar. Baja boleh ditabur di keliling pokok sejarak 10 cm dari pangkalnya atau ditabur berjalur mengikut
barisan tanaman.

Pembajaan berikutnya boleh dibuat selepas memungut hasil atau apabila kesuburan pokok kelihatan merosot.

Merumput

Rumpai perlu dikawal sepanjang masa bagi mengelakkan persaingan dengan pokok untuk mendapatkan zat makanan, cahaya matahari dan air. Kerja merumput biasanya dilakukan dengan tangan, cangkul atau tajak.

MengikatTali  Rafia

Apabila anak-anak pokok berumur 2 minggu, bolehlah mula mengikat tali rafia ke dawai junjung untuk membantu pokok memanjat. Ikatkan tali-tali rafia tersebut bersilang menghubungkan dawai bahagian bawah dengan dawai bahagian atas. Tentukan pokok meliliti tali-tali rafia tersebut.

MEMUNGUT HASIL

Hasil buah boleh dikutip 10-12 minggu selepas ditanam. Pilihlah buah yang hijau serta rapuh dan berukuran 15-20 cm panjang. Kutipan boleh dibuat setiap 2-3 hari sekali untuk mengelakkan daripada buah banyak menjadi tua. Buah yang tua akan bersabut dan tidak sedap dimakan. Pokok yang subur boleh menghasilkan 10 biji buah sepokok sekali petik selang dua hari.

Hasil purata buah yang boleh diperolehi dianggarkan antar 4,000 – 5,000 kg/0.4 ha. Buah-buah kacang botor ini selalu terdapat dijual di pasar-pasar dengan harga RM 1.00 seikat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan