ADS

Ahad, 4 November 2012

Panduan Menanam Selom






PENGENALAN

Selom (Oevanthe javanice) adalah dari keluarga Umbelliferae. Ia merupakan sayuran ulam pembuka selera yang sangat digemari terutama oleh orang-orang melayu. Selom juga digunakan sebagai ramuan nasi ulam dan laksa.

Selom biasanya tumbuh liar di tempat-tempat lembap seperti di tepi paya dan sawah tetapi kini ia ditanam secara teratur untuk kegunaan harian dan untuk jualan di pasar. Ia mengandungi banyak zat terutama vitamin C dan zat galian. Ia senang ditanam dan mudah dijaga.




KEADAAN POKOK

Selom merupakan tanaman herba yang tumbuh menegak mencapai sehingga 150 cm. Ia mempunyai batang yang berongga berwarna hijau. Buku yang terdapat pada batang mengeluarkan akar sekiranya di rendam di dalam air.

Daunnya berbentuk bujur telur, bergerigis di tepinya dan hujungnya tirus. Sekiranya diramas daun mengeluarkan bau yang sedap. Bunganya kecil berwarna putih tersusun dalam satu jambak.

TANAH DAN PENYEDIAANNYA

Selom boleh tumbuh di kebanyakan jenis tanah tetapi paling sesuai ditanam di tanah yang subur, berkeadaan lembap, banyak mengandungi bahan organik serta mempunyai saliran yang baik. Ia elok ditanam di atas batas yang telah digemburkan berukuran 120 cm lebar, 20 cm tinggi dan panjangnya 7.5 m atau ikut keadaan tanah.

PENANAMAN

Selom selalunya ditanam dengan menggunakan keratan-keratan. Panjang keratan lebih kurang 20 cm. Tanamlah dua atau tiga keratan selubang dan kejapkan tanah di sekeliling keratan selepas menanam. Keratan-keratan ini boleh juga disemai dahulu di dalam bekas berpasir untuk menggalakkan pengeluaran akar dan kemudiannya diubah ke batas.

Biji benih boleh jugan digunakan. Bagaimanapun menanam dengan keratan akan lebih cepat mengeluarkan hasil. Selom bolehlah ditanam berbaris-baris iaitu dengan jarak 25 cm antara pokok dan 25cm antara baris.

PENJAGAAN

> Menyiram

Di peringkat awal pertumbuhan pokok selom memerlukan air yang cukup untuk membesar dengan sempurna. Siram pokok dua kali sehari iaitu di sebelah pagi dan sebelah petang. Biasanya keratan-keratan batang akan mula berakar dua atau tiga minggu selepas ditanam. 4 hingga 6 minggu kemudian apabila pokok-pokok ini sudah tumbuh, penyiraman boleh dikurangkan kecuali bila keadaan terlalu kering.

> Membaja

Pembajaan adalah perlu untuk pertumbuhan yang cepat, subur dan pengeluaran hasil daun yang tinggi. Sebagai panduan umum, syor pembajaan seperti berikut boleh digunakan:

> Jenis Baja

Baja-baja organik seperti najis haiwan yang reput (tahi ayam atau tahi lembu) dan baja-baja kimia atau dagangan boleh digunakan. Baja organan meningkatkan kesuburan tanah manakala baja kimia membei makanan yang cukup untuk pokok. Baja kimia yang seimbang kandungan NPK samada dalam bentuk campuran atau sebatian adalah sesuai untuk hasil daun yang tinggi.

> Kadar dan Cara Pembajaan Untuk Tanaman Utama

Tabur lebih kurang 5 hingaa 8 kg baja yang reput ke atat tiap-tiap batas dan digaul ke dalam tanh seminggu sebelum menanam. Semasa menanam, tabur baja N:P2O5:K2O 15:15:15 sebanyak lebih kurang 250 g bagi setiap batas di dalam alur-alur yang dibuat di antara baris-baris pokok dan kemudian timbus dengan tanah.
Di minggu ke-3, 6 dan 9, tabur baja N:P2O5:K2O 15:15:15 dengan cara yang sama sebanyak lebih kurang 200 g bagi setiap batas sekali tabur.

> Kadar Dan Cara Pembajaan Untuk Tanaman Ratun

Selepas hasil-hasil dipungut, pokok-pokok yang tinggal perlulah dibaja supaya cepat membesar dan membentuk daundaun baru. Kadar baja boleh dicuba seperti berikut:

-Selepas memungut hasil, tabur baja sebanyak lebih kurang 200 g bagi detiap batas.
-Taburkan baja dengan kadar yang sama seperti di atas di minggu ke-3

MERUMPUT

Rumpai yang tumbuh di kawasan tanaman perlu dibersihkan supaya hasil tidak merosot. Rumpai bukan sahaja bersaing dengan tanaman untuk mendapat zat makanan, air dan ruang tetapi juga ia menjadi perumah kepada musuh dan penyakit. Gunakan cangkul atau cabut dengan tangan.

MENGAWAL MUSUH DAN PENYAKIT

Selom tidak mempunyai banyak musuh dan penyakit. Bagaimanapun penyakit yang didapati menyerang ialah penyakit kulat jelaga (Sooty mould) yang disebabkan oleh kulat Asteridiella sp. Kerosakannya tidaklah teruk dan pengawalan dengan racun kulat tidak diperlukan. Belalang dan kumbang daun didapati memakan daunnya tetapi serangan serangga ini tidaklah teruk.

MEMUNGUT HASIL

Selom boleh dipungut hasilnya lebih kurang 3 atau 4 bulan selepas menanam. Potong batangnya dengan
menggunakan pisau yang tajam. Tunas-tunas baru akan tumbuh selepas dipotong. Hasil seterusnya boleh dipungut 4 hingga 6 minggu kemudian.

1 ulasan: