ADS

Rabu, 7 November 2012

Panduan Menanam Kacang Botor / Botol





PENGENALAN

Ia adalah tumbuhan memanjat separa berkayu, batang berbentuk silinder, licin tanpa bulu, liat, berwarna hijau ketika muda dan bertukar perang setelah tua. Daun jenis majmuk trifoliat, susunan berselang-seli, tangkai panjang, halus.

Anak daun bersaiz sederhana, berbentuk bujur dengan hujung menirus, nipis, berwarna hijau ketika muda dan bertukar hijau tua setelah matang, tepi rata. Bunga majmuk, bersaiz sederhana, kelopak berwarna ungu, terdapat 1-10 kuntum dalam 1 jambak bunga yang keluar dari celah ketiak daun. Buah memanjang, bersegi empat dengan sayap di setiap sisi, sepanjang tepi sayap bergerigi kecil, berwarna hijau ketika muda bertukar coklat apabila tua, mengandungi banyak biji benih di tengahnya. Biji sederhana besar, berwarna hijau ketika muda, coklat kehitaman apabila telah tua, berbentuk bulat membujur, keras seperti biji kacang soya.

Kacang botor (Psophocarpus tetragonolobus D.C.) atau kacang kelisa adalah sejenis sayuran berbuah yang sangat kaya dengan protin dan lemak serta vitamin A dan B. Ianya dipercayai berasal dari Papua New Guinea dan Asia Tenggara.

Pokok kacang botor tumbuh melilit dan memerlukan pancang/kayu junjung untuk memanjat. Ia selalu ditanam sebagai tanaman jangka pendek di kebun sayur atau di tepi-tepi pagar rumah.

Buah potong berukuran 15-20 cm panjang dan mempunyai 4 sayap yang bergerigis. Biasanya buah digunakan dalam masakan dan juga dimakan mentah sebagai ulam.

TANAH

Kacang botor boleh ditanam di berbagai-bagai jenis tanah iaitu dari ringan berpasir hingga kepada tanah lempong serta tanah gambut. Elakkan dari menanam di kawasan yang bertakung air. Tanah yang gembur, subur, baik salirannya dan pH 5.5 – 6.0 adalah paling sesuai.

PENANAMAN

Menyedia Kawasan

Bajak dan gemburkan tanah sedalam 20-30 cm untuk memudahkan akar tumbuh dengan baik. Sediakan batas berukuran 1.3 m lebar, 30 cm tinggi dan panjangnya 7.5 m atau mengikut keadaan kawasan. Jarak antara batas adalah 30 cm.

Menanam

Kacang botor dibiakkan dengan biji benih. Biji benihnya boleh diambil dari buah-buah yang telah cukup tua yang berwarna perang kehitaman. Gaul biji benih dengan racun kulat, contohnya thiram dengan kadar 3 g bagi 100 g biji benih sebelum menanam.

Biji benih boleh ditanam dengan jarak 50 cm antara pokok dan 1 m antara barisan ataupun 60 cm x 60 cm. Tiap-tiap batas mengandungi dua barisan pokok. Tanam terus biji benih ke atas batas sebanyak dua biji selubang, lebih kurang 2.5 cm dalam. Biji benih akan bercambah dalam masa 14 hari. Cabut dan tinggalkan hanya satu anak benih yang sihat pada setiap lubang. Untuk kawasan seluas 0.4 ha lebih kurang 7 kg biji benih diperlukan.

Menyedia Junjung

Untuk mendapatkan hasil yang baik kacang botor perlu diberi junjung. Sokong anak-anak tanaman dengan
menggunakan kayu pancang berukuran 2 – 2.5 m panjang. Condongkan kayu-kayu sokongan yang bertentangan supaya bersilang dan ikat di bahagian atas tempat bertemu untuk mendapatkan sokongan yang kuat. Kemudian lentangkan kayu-kayu pada tiap-tiap tempat persilangan. Pastikan anak-anak tanaman melilit kayu sokongan. Cara ini sesuai untuk kawasan penanaman yang kecil.

Satu cara lagi untuk menyokong pokok adalah dengan sistem trellis. Pacakkan sebatang kayu/tiang-tiang beruti yang berukuran lebih kurang 2.5 m panjang dan bergarispusat 8-10 cm di bahagian tengah kedua-dua hujung tiap-tiap batas.

Pacakkan pula tiang kayu berukuran 0.6 m panjang dan 5-6 cm garispusat di hujung penjuru tiap-tiap batas.
Sambungkang tiang-tiang kayu yang bertentangan antara kedua hujung batas dengan dawai kasar. Gunakan tali rafia untuk membantu anak pokok memanjat junjung.

PENJAGAAN

Menyiram

Siram pokok 2 kali sehari iaitu pagi dan petang kerana anak pokok memerlukan air yang banyak untuk membesar.

Membaja

Pembajaan asas dengan baja organan atau baja asli seperti tahi ayam reput dan kompos sebanyak 7 tan metrik untuk 0.4 hektar atau kira-kira 22.5 kg sebatas yang berukuran 1.3 m x 7.5 m adalah mencukupi.

Baja ini digaulkan ke dalam tanah seminggu sebelum menanam. Untuk baja tambahan gunakan baja kimia iaitu baja sebatian N:P2O5:K2O:MgO 12:12:17:2 + T.E. sebanyak lebih kurang 1.5 kg sebatas atau 
15-20 g/pokok ketika berumur 3, 5 dan 8 minggu. Ini memerlukan lebih kurang 450 kg baja untuk 0.4 hektar. Baja boleh ditabur di keliling pokok sejarak 10 cm dari pangkalnya atau ditabur berjalur mengikut
barisan tanaman.

Pembajaan berikutnya boleh dibuat selepas memungut hasil atau apabila kesuburan pokok kelihatan merosot.

Merumput

Rumpai perlu dikawal sepanjang masa bagi mengelakkan persaingan dengan pokok untuk mendapatkan zat makanan, cahaya matahari dan air. Kerja merumput biasanya dilakukan dengan tangan, cangkul atau tajak.

MengikatTali  Rafia

Apabila anak-anak pokok berumur 2 minggu, bolehlah mula mengikat tali rafia ke dawai junjung untuk membantu pokok memanjat. Ikatkan tali-tali rafia tersebut bersilang menghubungkan dawai bahagian bawah dengan dawai bahagian atas. Tentukan pokok meliliti tali-tali rafia tersebut.

MEMUNGUT HASIL

Hasil buah boleh dikutip 10-12 minggu selepas ditanam. Pilihlah buah yang hijau serta rapuh dan berukuran 15-20 cm panjang. Kutipan boleh dibuat setiap 2-3 hari sekali untuk mengelakkan daripada buah banyak menjadi tua. Buah yang tua akan bersabut dan tidak sedap dimakan. Pokok yang subur boleh menghasilkan 10 biji buah sepokok sekali petik selang dua hari.

Hasil purata buah yang boleh diperolehi dianggarkan antar 4,000 – 5,000 kg/0.4 ha. Buah-buah kacang botor ini selalu terdapat dijual di pasar-pasar dengan harga RM 1.00 seikat.

Panduan Menanam Kacang Panjang






PENYEDIAAN TANAH

Di Ladang

Bajak dan gemburkan tanah sedalam 15 cm ke 22 cm (6 in ke 9 in) supaya pertumbuhan akar baik. Sediakan batas berukuran 12 m (4 kaki ) lebar, 25 cm (10 in) tinggi dan panjangnya mengilut keadaan kawasan. Jarak antara batas ialah 60 cm ( 2 kaki ). Gaulkan 50 kg tahi ayam reput kedalam tanah bagi kawasan 100meter persegi.

Dalam Pasu dan Bekas

Gunakan tanah campuran 3 bahagian tanah, 1 bahagian tahi ayam reput atau kompos dan 1 bahagian [asir. Isikan pasu dengan tanah campuran tersebut sehingga 5 cm dari permukaan pasu.




MENANAM

Di Ladang

Tanam 2 biji benih selubang dalam dua barisan dengan jarak 60 cm (2 kaki) antara barisan dan 45 cm
(18 in ) antara pokok. Setelah benih bercambah dan membesar tinggalkan 1 pokok selubang sahaja. Sebanyak 70 g biji benih diperlukan untuk kawasan seluas 100 meter persegi (1000 kaki persegi).

Dalam Pasu dan Bekas

Tanam 2 biji benih sedalam 2.5 cm ( 1 in). Selepas 2 minggu ditanam tinggalkan satu pokok sahaja dalam satu pasu.

MENYEDIA JUNJUNG

Di Ladang

Sokong anak-anak pokok yang berumur 3 minggu dengan menggunakan kayu pancang berukuran 2 m (6.5 kaki). Condongkan kayu-kayu sokongan supaya bertentangan dan ikat di bahagian atas. Lentangkan kayu-kayu pada tiap-tiap sudut yang bertemu. Pastikan anak-anak pokok meliliti kau sokongan.

Dalam Pasu dan Bekas

Gunakan kayu pancang berukuran 2 m (6.5 kaki). Pastikan anak pokok meliliti kayu sokongan.

PENJAGAAN

Menyiram Air

Siram tanaman di ladang atau pasu pada waktu pagi dan petang setiap hari kecuali hari hujan.

MEMBAJA

Di Ladang

Gunakan baja kimia NPK 12:12:12:17:2 sebanyak 7 kg bagi setiap 100 m (1000 kaki) persegi. Baja ini dibahagi kepada 3 kali pembajaan iaitu pada minggu ke-2, 4 dan 7 selepas menanam.

Dalam Pasu dan Bekas

Tabur 1 sudu the ( 5 kg ) baja NPK 12:12:17:2 sepasu setiap minggu.

MERUMPUT

Kawalan rumpai perlu dijalankan sepanjang masa untuk mengelakkan persaingan tanaman dengan r

Panduan Menanam Limau Purut






PENGENALAN

Limau purut  atau nama botani Citrus hystrix biasa digunakan sebagai rempah ratus di dalam masakan dan ramuan perubatan pelbagai bangsa. Buahnya bulat dan kulitnya berwarna hijau menggerutu @ katak puru, daunnya mengeluarkan aroma yang harum, sesuai dibuat mandian dan perasa dalam pelbagai masakan
.
Ketinggian limau purut boleh mencapai hingga 5 meter tinggi.

IKLIM

Limau nipis sesuai dengan iklim yang panas dan lembab seperti di negara kita.

TANAH

Boleh ditanam di atas berbagai jenis tanah tetapi didapati lebih sesuai ditanam di atas tanah jenis lom berpasir.



CARA-CARA MENANAM

Membiak

 Limau purut senang dibiakkan melalui biji tetapi biasanya ia dibiak secara tampang iaitu secara tut. Jika dibiak secara ini pokok-pokok mengeluarkan buah lebih awal.

Menanam

Jarak tanaman yang sesuai untuk limau ini ialah 6 m x 6 m. Gali lubangberukuran 0.6m x 0.6m x 0.6m dan gaulkan bersama 100g baja tahi ayam reput, 100 g baja triple superphosphate dan 100 g kapur. Tanam anak pokok ke dalam lubang dan padatkan tanah keliling anak pokok.

Jika menanam dalam pasu, sediakan tanah campuran mengandungi 3 bahagian tanah, 1 bahagian tahi ayam reput dan 1 bahagian pasir. Isikan pasu dengan tanah campuran tersebut sehingga 5 cm (2 inci) dari permukaan pasu. Buat lubang dan masukkan anak pokok, rata dan padatkan permukaan keliling anak pokok.

PENJAGAAN

Siram anak pokok pada awal pagi dan lewat petang 1-2 kali sehari selama 2-3 bulan pertama. Di ladang pembajaan dilakukan dengan menggunakan tahi ayam reput sebanyak 5 kg/pokok dua kali setahun bagi peringkat tumbesaran (1- 3 tahun).

Baja urea dua kali setahun sebanyak 50 g/pokok setiap kali pembajaan. Manakala di dalam pasu 1 kg/pokok dua kali setahun dan baja urea 20 g/pokok setiap kali pembajaan. Letak sungkupan daun-daun kering di keliling pokok sebagai sungkupan.

Cantasan dilakukan untuk membuang tunas air, ranting-ranting dan dahan yang berpenyakit atau kurang sihat.

KAWALAN RUMPAI

Bagi pokok-pokok muda, kerja-kerja merumput hendaklah dilakukan dengan mencabut atau menggunakan cangkul dikeliling pokok. Bila pokok sudah cukup besar dan matang, kawalan rumpai secara kimia boleh dijalankan dengan menggunakan racun rumpai.

KAWALAN PEROSAK DAN PENYAKIT

Kutip dan musnahkan serangga perosak yang menyerang pokok serta daun-daun yang dijangkiti oleh penyakit.

HASIL

Pokok mula berbuah antara umur 2-3 tahun iaitu bagi pokok-pokok yang ditanam dari anak tut. Pada tahun ketiga sebanyak 100 g/pokok hasil boleh diperolehi setiap kutipan, manakala pada peringkat umur 5-10 tahun, setiap pokok dapat mengeluarkan hasil sebanyak 500-800 g/pokok/kutipan.

Panduan Penanaman Terung






PENANAMAN

Di Ladang

Bajak dan gemburkan tanah sedalam 15 hingga 22 cm (6-9 in). Sediakan batas berukuran 1.2 m ( 48 in) lebar dan 22- 30 cm (9-12 in) tinggi. Panjang batas mengikut keadaan kawasan. Jarak antara batas ialah 45 cm (18 in). Gaulkan tahi ayam reput ke dalam tanah sebanyak 50 kg bagi 50 meter persegi ( 500 kaki persegi).

Dalam Pasu atau Bekas

Gunakan tanah campuran mengandungi 3 bahagian tanah, 1 bahagian tahi ayam reput atau kompos dan 1 bahagian pasir. Isikan tanah campuran tersebut ke dalam pasu sehingga 5 cm (2 in) dari permukaan pasu.

MENYEDIA ANAK BENIH

Bagi tanaman di ladang, sediakan kotak semaian berukuran 45 cm ( 18 in) panjang, 22 cm (9 in) lebar dan 10 cm (4 in) tinggi. Isikan kotak semaian dengan tanah campuran yang mengandungi 3 bahagian tanah, 1 bahagian tahi ayam reput atau compos dan 1 bahagian pasir. Semai 3 g biji benih kedalam kotak semaian secara barisan dan tutup benih dengan lapisan nipis tanah. Jarak antara barisan biji benih ialah 5 cm (2 in) dan 2 cm (1 in) antara benih. Siram dengan penyiram yang mempunyai semburan halus dua kali sehari. Kotak semaian mesti dilindungi cahaya matahari dan air hujan yang berlebihan. Ubah anak benih ke ladang 3 hingga 4 minggu selepas disemai. Sebelum diubah ke ladang, dedah anak benih kepada cahaya matahari yang penuh selama 3 hingga 4 hari untuk mengeraskannya.

MENANAM

Di Ladang

Anak benih yang berumur 3 hingga 4 minggu boleh di ubah terus ke batas. Sebelum mencabut, basahkan kotak semaian supaya anak benih senang di gali. Kemudian, gali anak benih dengan segumpal tanah dan tanam terus ke batas. Jarak tanaman ialah 90 cm (36 in) antara pokok dan 60 cm antara baris.




Dalam Pasu atau Bekas

Tanam terus 3 atau 4 biji benih ke dalam pasu sedalam 2-5 cm ( 1 in). Tinggalkan sepokok sepasu 2 minggu selepas menanam.

PENJAGAAN

Menyiram

Siram tanaman pada awal pagi dan lewat petang setiap hari kecuali hari hujan.

Membaja Di Ladang

Tabur baja NPK 12:12:17:2 di keliling pokok dengan kadar 1 sudu besar atau 10 g sepokok setiap dua minggu.

Dalam Pasu atau Bekas

Tabur 1 sudu teh atu 5 g baja NPK 12:12:17:2 sepasu di keliling pokok setiap minggu.

Sungkupan Di Ladang

Gunakan kepingan plastik atau rumput-rumput kering atau pelepah kelapa sebagai sungkupan.

Dalam Pasu atau Bekas

Gunakan rumput-rumput kering atau sabut kelapa.

Merumput

Bersihkan batas-batas daripada rumput rumpai dengan menggunakan tangan, cangkul atau tajak.

Menyedia Sokongan Di Ladang

Satu kayu sokongan sepanjang lebih kurang 1 ½ meter ( 5 kaki) dipacak berdekatan tiap-tiap pokok.
Dahan-dahan pokok diikat dengan tali rafia supaya buah terung tidak terkena permukaan tanah.

Dalam Pasu atau Bekas

Cara sokongan yang di amalkan adalah sama dengan sokongan yang dibuat di ladang tetapi kayu yang digunakan berukuran 1.2 m ( 4 kaki ) panjang.

KAWALAN SERANGGA DAN PENYAKIT

Sembur racum serangga carbaryl (Sevin pada kadar 1 sudu besar atau 10 g segelen air ) untuk mengawal ulat lipas daun, kumbang daun dan pengorek buah. Gunakan racun kulat maneb ( seperti Megamaneb pada kadar 1 sudu besar atau 10 g segelen air) untuk mengawal penyakit reput buah dan racun kulat benomyl ( seperti Benlate pada kadar 1 sudu teh atau 3 g segelen air) untuk mengawal bintik daun.

MEMUNGUT HASIL

Di Ladang

Mulalah memetik buah 6 minggu selepas mengubah. Pungutan hasil dibuat setiap 4 hari. Anggaran hasil ialah
sebanyak 75 – 125 kg bagi 50 meter persegi. Denagn harga purata 60 sen sekilo, pendapatan kasar adalah RM 45 – RM 75.

Dalam Pasu atau Bekas

Mulalah memetik buah 10 minggu selepas menanam. Anggaran hasil adalah 1 kg/pokok.