ADS

Jumaat, 7 Mac 2014

Panduan Menternak Ikan Arowana

IKAN Arowana atau Scleropages formousus ialah sejenis ikan hiasan yang sangat popular dan agak tinggi harganya. Disebabkan aktiviti penangkapan yang berleluasa sejak 70-an sehingga kini, jumlah populasinya di habitat asal semakin berkurangan dan pupus.

Oleh kerana itu spesies ikan ini telah dilindungi sebagai spesies kawalan untuk diimport dan dieksport di bawah Convention on the International Trade in Endargered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) 

Di Malaysia, aktiviti penternakan ikan Arowana juga turut dijalankan secara komersial untuk tujuan eksport ke pasaran antarabangsa dan antara agensi yang terbabit ialah Jabatan Perikanan.
Secara semulajadi, ikan ini membiak sekali dalam setahun iaitu pada Jun hingga Ogos di habitat asalnya. Arowana matang boleh membiak apabila mencapai umur empat setengah atau lima tahun dengan berat di antara satu hingga dua kilogram. Semasa proses mengawan, induk jantan dan betina akan berpasangan dan berenang beriringan selama beberapa minggu namun proses mengawan hanya akan berlaku apabila keadaan sesuai. Induk jantan akan melengkungkan badannya dan menghimpit badan induk betina dan pada peringkat ini, telur dari induk betina akan keluar dan akan disenyawakan oleh induk jantan. Telur akan dieram oleh ikan jantan selama dua bulan sehingga anak yang dihasilkan boleh berenang bebas dan bersaiz kira-kira 6-7 sentimeter.

Ikan Arowana boleh membiak didalam kurungan secara semula jadi tanpa memerlukan suntikan hormon aruhan pembiakan. Musim pembiakan di dalam kurungan tidak begitu ketara kerana kurang dipengaruhi oleh persekitaran semula jadi. Namun, aspek pemakanan perlu diberikan perhatian sebaik saja anak ikan mulai berenang bersendirian walaupun masih terdapat sedikit yolk di bahagian bawah perutnya. Kelewatan memberi makanan akan menyebabkan anak ikan mencederakan sesama sendiri. Asuhan anak ikan diperlukan selama dua hingga tiga bulan sehingga anak ikan mencapai saiz 15-20 sentimeter dan sesuai dipasarkan. Bagaimanapun, eraman telur oleh induk jantan secara kaedah pembiakan semula jadi di dalam kolam akan mengurangkan kadar hidup anak Arowana. Justeru, kaedah terbaik bagi menjamin peratusan hidup anak ikan yang tinggi ialah menerusi kaedah in vitro.

Pengeraman In-Vitro Menerusi kaedah ini, telur ikan yang sedang dieram oleh induk jantan dan masih mempunyai yolk sac dikeluarkan secara manual dan diasuh di dalam akuarium berukuran 90 x 45 x 45 sentimeter. Pengudaraan diberikan secukupnya dengan suhu ditetapkan pada tahap di antara 27 hingga 28 darjah Celcius dengan memasang pemanas elektrik. Kedalaman air adalah kira-kira 20 sentimeter dan melalui kaedah ini kadar peratusan hidup anak ikan adalah tinggi berbanding kaedah eraman
semula jadi.

Arowana sesuai membiak dalam iklim khatulistiwa dengan suhu diantara 26 hingga 33 darjah Celsius. Bagi pembiakan dalam kolam, jenis tanah liat berpasir dengan kandungan tanah liat 55 peratus hingga 60 peratus adalah amat sesuai. Bekalan air diperlukan sepanjang tahun dari sumber semula jadi sama ada air bukit, sungai, empangan dan tasik. Kualiti air yang diperlukan adalah seperti berikut:
Suhu air: 29 hingga 31 darjah Celcius
pH: 6.5-8.5
Oksigen terlarut: 5ppm
Alkaliniti: 60-100 ppm
CaCO3
Jumlah keliatan: 100ppm
Bacaan piring Secchi: 30 sentimeter
Ammonia: 1ppm

Aspek lain yang turut diberi perhatian dalam aktiviti penternakan ialah pembinaan dan penyediaan kolam.
Antaranya:

Pemilihan Tapak
Tapak yang sesuai ialah kawasan yang tidak mengalami banjir, jauh dari kawasan industri dan punca pencemaran, tiada persaingan aktiviti pertanian dan perindustrian serta mempunyai prasarana yang lengkap.

Pembinaan kolam
Bentuk kolam yang sesuai ialah segi empat dengan nisbah kecerunan ban 2:1. Bagi memudahkan pengurusan, keluasan kolam yang sesuai ialah di antara 0.2-0.4 hektar dengan kedalaman air 0.75-1.2 meter. Dasar kolam hendaklah rata dan cerun ke arah saluran air keluar. Pembinaan kolam takungan di antara 20 hingga 30 peratus dari jumlah keseluruhan kolam adalah digalakkan bagi menjamin punca bekalan air yang mencukupi dan proses rawatan air dilakukan jika perlu.

Pengapuran
Kolam yang dibina hendaklah dipastikan menepati parameter kualiti tanah dan air serta sesuai bagi aktiviti ternakan. Pengapuran diperlukan jika keadaan tanah berasid dan jenis-jenis kapur yang sesuai ialah kapur pertanian, kapur abu sejuk, kapur abu panas dan dolomite.

Pembajaan
Baja organan dan bukan organan sesuai digunakan dan kepekatan nitrogen dan fosforus yang sesuai ialah masing-masing 0.95ppm dan 0.15ppm. Terdapat beberapa kaedah ternakan ikan Arowana yang dicadangkan antaranya ialah ternakan kolam tanah.
Berikut adalah keperluan asas dalam melaksanakan sistem ternakan berkenaan.

Ternakan Induk
Untuk tujuan pembiakan, induk Arowana jantan dan betina diternak dalam kolam yang telah disediakan terlebih dahulu dengan aspek sumber air semula jadi di beri perhatian yang utama. Arowana jarang dijangkiti penyakit namun, pemerhatian perlu sentiasa dilakukan supaya induk Arowana sentiasa sihat.

Taburan
Sebanyak 20 ekor induk berumur empat tahun dipelihara di dalam dua buah kolam ternakan tanah bersaiz 0.2 hektar dengan nisbah jantina 1:1.

Pemakanan
Bagi induk ikan, makanan perlu diberi dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang dengan jenis makanan rumusan terapung yang mengandungi protein sebanyak 35 peratus atau makanan jenis hidup seperti cengkerik, anak ikan dan udang gantung. Anak ikan yang telah berenang bebas dalam akuarium pula perlu diberi makan anak-anak ikan jenis lain seperti Gambusia affinis yang bersaiz 1-2 cm. Pemerhatian berkala ke atas ikan Arowana dewasa atau induk hendaklah dilaksanakan dengan menumpukan kepada ciri-ciri proses Arowana mengawan dan dilakukan secara kaedah menangkap menggunakan pukat. Telur yang sedang dieram oleh Arowana jantan hendaklah dikeluarkan untuk eraman selanjutnya menggunakan kaedah in-vitro yang dijalankan dalam tangki akuarium.

Pungutan Hasil
Bagi ternakan secara semula jadi, anak ikan perlu ditangkap apabila mula dilihat berenang bebas dan disimpan di dalam tangki auarium dengan saiz bersesuaian. Bagi kaedah in-vitro pula, anak ikan yang berenang bebas tanpa yolk sac perlu diasingkan bagi mengelakkan ia di makan oleh ikan lain dan diberi makanan hidup sehingga mencapai saiz 5-7 cm sebelum dipasarkan.
Pasaran
Harga ikan meningkat berdasarkan saiz namun bagi pasaran tempatan, harga ikan berbeza mengikut lokasi dan secara puratanya bagi ikan yang berkualiti di antara RM250 hingga RM900 pada saiz 6-9 inci. Bagi pasaran eksport, syarikat atau individu mestilah berdaftar dan memiliki Lesen Import dan Eksport SKKP Pin.91 yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan juga Permit CITES.
Berdasarkan analisis LKIM, pelaburan ke atas projek ini agak besar yang mana kos bagi memulakan ternakan Arowana di atas tanah seluas 0.25 hektar dianggarkan sebanyak RM139,392 dengan kelengkapan paling minimum. Pulangan atau hasil pula hanya akan diperoleh pada tahun keempat atau kelima namun bergantung kepada tahap baka induk yang baik, pemakanan dan pengurusan. Nilai pasaran ikan Arowana juga dipengaruhi oleh cita rasa peminat ikan tersebut namun ketika ini, permintaan serta harganya masih tinggi terutama bagi 

Pasaran antarabangsa.
Secara umumnya ketika ini tidak ramai yang mampu menceburi bidang pengeluaran benih ikan ini kerana modal permulaan dan operasi yang agak tinggi termasuk mengambil masa yang agak lama untuk membiak iaitu kebiasaannya pada umur lima tahun. Bagaimanapun, melihat kepada pasaran semasa, aktiviti ini boleh dilaksanakan dan mendatangkan pulangan yang lumayan.

Kenapa pelihara arowana?
Sebab ia mempunyai nilai komersil dan kenaikan harga adalah sangat tinggi bagi setiap inci saiz dibesarkan terutamanya bagi baka yang berkualiti dan bernilai tinggi. Jadi ia bukan sekadar hobi, bahkan memberi pulangan yang tinggi.

Bagaimana arowana boleh mendapat peningkatan harga yang tinggi?
Permintaan dunia terhadap species arowana terutamanya baka golden sangatlah tinggi, terutamanya dari negara seperti China. Malaysia merupakan pengeluar arowana baka golden terbesar dunia, dan sebahagian besar dari pengeluaran anak-anak arowana baka ini diekspot ke luar negara. Hanya sebahagian kecil sahaja dari anak-anak yang dikeluarkan oleh kolam-kolam pembiakan arowana di negara ini yang dijual untuk pasaran tempatan.

Pembeli-pembeli tempatan adalah terdiri dari penggemar-penggemar (hobbyist) dan "growers". "Growers" adalah mereka yang mengusahakan aktiviti membesarkan anak-anak arowana secara serius untuk dijadikan induk. Setelah matang, induk arowana ini dijual pula kepada pengusaha-pengusaha kolam pembiakan. Permintaan terhadap induk arowana yang matang adalah sangat tinggi kerana industri pembiakan arowana kini sedang berkembang pesat di negara kita. Pengusaha-pengusaha kolam giat mengembangkan perniagaan mereka kerana terdapat permintaan ekspot yang tinggi bagi anak-anak arowana yang dikeluarkan.

Banyak kolam-kolam baru dibuka dan orang ramai pula tidak teragak-agak melaburkan wang mereka di dalam industri ini untuk mendapatkan pulangan. Pembukaan kolam-kolam baru menyebabkan  bertambahnya permintaan terhadap induk arowana matang dan ini secara langsung menjana perkembangan industri membesarkan anak-anak arowana oleh para "growers". Industri arowana kini sudah menjadi suatu kitaran perniagaan yang lengkap dan inilah yang menyebabkan industri ini berkembang pesat di negara kita.

Mengenali Bahagian-bahagian Utama Ikan Arowana


Sila klik pada gambar di atas untuk melihat dengan resolusi tinggi

Jenis-jenis Baka Arowana Yang Paling Popular Di Malaysia

A.  "Golden Series"
Malaysia Golden adalah baka arowana yang dikatakan berasal dari Semenanjung Malaysia dan pada suatu ketika dulu banyak terdapat secara liar di Sungai Kerian dan Tasik Bukit Merah. Bagaimana pun baka asal yang hidup secara liar sudah hampir pupus kerana ditangkap oleh penggemar-penggemar arowana, sebahagiannya dijual kepada penggemar-penggemar luar negara manakala sebahagian lagi masih terdapat di kolam-kolam peliharaan arowana seperti di sekitar Tasik Bukit Merah.

Arowana dari baka golden yang boleh didapati hari ini kebanyakannya bukannya merupakan baka Malaysia Golden (MG) tulen, sebaliknya telah dikacuk. Ia boleh dikelaskan kepada beberapa jenis, iaitu:

1. Golden Head
Arowana Golden Head sebenarnya bukanlah baka Malaysia Golden atau MG tulen. Malah ia adalah baka yang terhasil dari teknologi kacukan (hibrid) di antara baka MG dan baka arowana merah (red arowana). Begitu pun, arowana golden head ini adalah digolongkan dalam famili Golden series. Terdapat "gold ring" atau jalur berwarna emas yang berbentuk seperti cincin melitupi lingkaran luar sisik, yang merupakan kriteria utama MG. Pada arowana golden head, gold ring ini meliputi semua barisan sisik termasuk sisik di paras 6. Walau bagaimanapun, warna emas "gold ring" ini kurang pekat berbanding dengan MG (iaitu less intense). Di samping itu terdapat tompokan emas pada bahagian atas kepala (forehead) juga. Apabila cukup dewasa dan bila dibela di dalam akuarium dengan latarbelakang gelap, warna emasnya kelihatan pekat. Seperti juga MG, salah satu ciri Golden Head adalah kehadiran "chu" yang halus dan tersusun kemas di bawah sirip dorsal fin.

"Chu" atau juga dipanggil "pearlis" adalah merupakan sisik-sisik halus berwarna keemasan yang terdapat pada badan ikan di bahagian bawah sirip atas (dorsal fin). Kehadiran "Chu" adalah merupakan kriteria penting untuk mengkelaskan arowana dan membezakan MG dengan lain-lain baka seperti Golden High Back. Untuk melayakkan sesekor arowana dari baka gold dipanggil MG, ia mestilah mempunyai sekurang-kurangnya sebaris penuh "chu". Sekiranya ia hanya mempunyai beberapa keping 'chu' kasar, arowana ini hanya layak dipanggil Super Highback.
'Chu' atau sisik halus keemasan di bawah 'dorsal fin' pada arowana Malaysia Gold (MG). Kelihatan chu yang halus dan tersusun rapi pada arowana ini

Chu pada arowana MG 24K

 MG ini dipanggil Golden Head sekiranya  terdapat tompokan emas yang bersaiz besar di bahagian kepala (gold helmet). Walau bagaimanapun, anak arowana ini hanya mempunyai tompokan kecil emas dania tidak layak dipanggil GH. Tompokan emas di kepala seperti ini boleh hilang selepas beberapa minggu dimasukkan ke dalam akuarium berlatarbelakang gelap.

Anak GH ini mempunyai kira-kira 50% gold helmet dan kualitinya dikira baik.

Arowana GH ini berkualiti tinggi di mana hampir keseluruhan bahagian kepala dilitupi emas (full helmet) Warna sisik kebiruan menunjukkan ia dari jenis 'bluebase'
Arowana Golden Head yang berkualiti tinggi merupakan baka termahal dalam species Malaysia Golden. Ia matang dan mula membiak selepas usia 3 tahun. Adalah dikatakan bahawa Arowana Golden Head dihasilkan melalui proses kacukan (crossbreed) beberapa peringkat antara baka MG dengan Blood Red oleh pengusaha-pengusaha arowana Singapura yang kemudiannya mengkomersilkan baka ini.

Proses kacukan peringkat 1 antara MG dan Blood Red menghasilkan arowana 'Tong Yan'. Proses kacukan antara 'Tong Yan' dan MG yang berulangkali akhirnya menghasilkan baka Golden Head.


2. Cross Back
Baka kedua termahal dalam species arowana Malaysia adalah MG Crossback. Rupanya kelihatan seperti Golden Head dengan kehadiran chu yang halus dan tersusun rapi, tetapi kepala tidak mempunyai tompokan emas. Selain itu, satu lagi perbezaan antara Golden Head dan Crossback adalah warna emas "gold ring" pada Crossback adalah lebih pekat (very intense).
Arowana GH ini juga merupakan crossback yang berkualiti kerana sisik emas di baris ke-6 iaitu di atas belakang bercantum dan sisik emasnya pula tipis (tajam)
Pandangan lebih dekat menunjukkan sisik emas yang tipis bercantum di baris ke-6 (atas belakang)

Arowana di atas pula merupakan seekor MG Crossback yang berkualiti rendah kerana sisik emas yang tebal (tidak tajam)
Kelihatan hujung sisik pada semua barisan disaluti "ring" emas termasuk pada sisik barisan ke 6 (barisan sisik atas belakang). Oleh kerana warna emas sudah "cross" sampai ke barisan sisik atas belakang, ia dipanggil CrossBack.

MG Crossback 24K
Warna emas yang sangat terang dan menyerlah pada MG 24K
Chu yang halus dan tersusun rapi pada MG 24K ini

Untuk menyerlahkan warna emas 24K, biasanya MG 24K diletakkan dalam akuarium berlatarbelakang putih

"Chu" yang halus tetapi susunan agak kurang rapi pada bahagian arowana ini MG ini.


Sebenarnya baka Crossback juga bukannya merupakan baka MG tulen. Ia juga terhasil melalui kacukan MG dan arowana merah. Juga matang dan membiak selepas usia 3 tahun.


3. Malaysia Golden (MG)
Perbezaan antara MG biasa dan MG Cross Back adalah terlalu kecil, iaitu bagi MG warna emas tidak meliputi keseluruhan "ring" pada sisik baris ke-6 (barisan sisik atas belakang). Bila dilihat dari atas, kelihatan jalur berwarna hitam di sepanjang sisik atas belakang. Chu juga terdapat pada MG, seperti yang terdapat pada Cross Back dan Golden Head, malah chu merupakan kriteria utama bagi MG. Baka MG yang berkualiti tinggi mempunyai chu yang halus dan tersusun rapi, samaada 2 atau 3 baris.

Kriteria utama baka MG dapat diringkaskan seperti berikut:
i.    Warna emas yang pekat pada gold ring
ii.   Gold ring meliputi sisik di paras 5.5
       (iaitu sehingga sebahagian dari sisik pada paras 6) apabila matang
iii.  Chu yang halus pada bahagian badan di bawah sirip dorsal
iv.  Chu yang halus juga terdapat pada pada bahagian bawah badan, di atas sirip "anal"


4. Golden High Back
Golden High Back adalah merupakan baka kacukan (hibrid) di antara pejantan MG dan induk Red Tail Golden (RTG) dari Indonesia. "Ring" berwarna emas terdapat pada pada sisik sehingga ke barisan ke 4 dan ke 5. Walau bagaimanapun, warna emas pada "ring"nya tidak begitu pekat, sebaliknya kelihatan ke arah warna perak. Baka ini kadang-kadang dipanggil High Back RTG (HBRTG).

Walau bagaimanapun, ada juga baka golden highback yang dihasilkan melalui proses kacukan antara MG dan baka-baka lain seperti banjar red. Proses kacukan ini selalunya melalui beberapa peringkat sebelum terhasilnya baka yang berkriteria seperti highback iaitu mempunyai "gold ring" iaitu jalur emas pada lilitan luar sisik.


Golden High Back - "ring" emas cuma kelihatan sehingga ke sisik barisan ke 4 1/2 atau 5. Pandangan dari atas, tiada warna keemasan pada sisik atas belakang.

5. Golden Super High Back
Dihasilkan dari kacukan MG dan Golden Highback. Kualiti baka ini akan bertambah baik sekiranya proses kacukan dilakukan berulangkali, iaitu anak Super HB dikacuk lagi dengan MG, dan begitulah seterusnya. Sekiranya proses kacukan ini diulang berkali-kali, anak Super HB yang terhasil berupaya mempunyai kriteria dan kualiti seperti mana MG, bahkan tak dapat dibezakan dari MG.






Panduan Kasar harga Pasaran: (kemaskini 28 Jun 2011)

Berikut adalah senarai harga arowana golden bagi pembelian pukal :

(Nota: harga di bawah hanyalah panduan kasar semata-mata, harga pasaran sebenar adalah bergantung kepada kualiti (gred) ikan dan berubah mengikut "bekalan dan permintaan" semasa)

1. Golden High Back 
Harga belian anak:  Saiz : 5-6 inci (Usia 5-6 bulan) : RM600-RM800
Harga jualan balik: Saiz: 14-15 inci (Usia 14-15 bulan) : RM1,200-RM1,500
Harga jualan balik: Saiz: 20-22 inci (Usia 24-30 bulan) : RM2,000-RM3,000

2. Golden Super High Back 
Harga belian anak:  Saiz : 5-6 inci (Usia 5-6 bulan) : RM1,200-RM1,500
Harga jualan balik: Saiz: 14-15 inci (Usia 14-15 bulan) : RM2,500-RM3,000
Harga jualan balik: Saiz: 20-22 inci (Usia 24-30 bulan) : RM3,500-RM4,500

3. Malaysia Golden (MG) 
Harga belian anak: Saiz : 5-6 inci (Usia 5-6 bulan) : RM1,800-RM2,000
Harga jualan balik: Saiz: 14-15 inci (Usia 14-15 bulan) : RM2,500-RM3,500
Harga jualan balik: Saiz: 20-22 inci (Usia 24-30 bulan) : RM4,500-RM6,000

4. MG Cross Back
Harga belian anak: Saiz : 5-6 inci (Usia 5-6 bulan) : RM2,000-RM3,000
Harga jualan balik: Saiz: 14-15 inci (Usia 14-15 bulan) : RM4,000-RM6,000
Harga jualan balik: Saiz: 20-22 inci (Usia 24-30 bulan) : RM6,000-RM10,000

5. MG Full Gold atau 24K Gold 
Harga belian anak: Saiz : 5-6 inci (Usia 5-6 bulan) : RM3,500-RM4,500
Harga jualan balik: Saiz: 14-15 inci (Usia 14-15 bulan) : RM5,500-RM8,000
Harga jualan balik: Saiz: 20-22 inci (Usia 24-30 bulan) : RM10,000 ke RM15,000

6. MG Golden Head
Harga belian anak: Saiz : 5-6 inci (Usia 5-6 bulan) : RM4,000-RM4,500 (sekurang-kurangnya 50% gold helmet)
Harga jualan balik: Saiz: 14-15 inci (Usia 14-15 bulan) : RM8,000-RM10,000 (gold helmet 80% ke atas)
Harga jualan balik: Saiz: 20-22 inci (Usia 24-30 bulan) : RM15,000 ke atas (full gold helmet)


Tips Penjagaan Ikan Kelah


Ikan kelah amat suka jika kita dapat sediakan persekitaran kolam seperti mana habitat semulajadinya. Ikan kelah adalah jenis ikan yang mudah dan tidak banyak masalah berbanding ikan lain. Samada untuk hiasan mahupun komersil, para penggemar dan peminat kelah sudah pasti ingin tahu tip untuk menternak ikan kelah.

Wujudkan persekitaran semula jadi kelah

Ikan kelah suka memakan tumbuhan air seperti rumpai, buah-buahan kecil, daun-daun pinggiran sungai dan lumut. Sifat ikan kelah yang kita tahu, ia amat gemar dengan persekitaran berbatu dengan aliran air yang laju (seperti air terjun @jeram). Anak-anak ikan gemar berenang ditepi atau celah-celah batu tersebut.

Sistem kolam yang baik mampu menjaga kualiti air supaya senantiasa bersih dan kelihatan jernih. Sistem terbaik yang sering dicadangkan ialah kaedah eko-bio iaitu menggunakan sumber asli yang lebih murah dan mudah diselenggara. Sebagai contoh pokok keladi bunting, pasir sungai dan batuan.

Makanan Kelah

Ikan kelah yang dipelihara bagi tujuan komersial atau hobi lazimnya diberi makan udang halus, ulat atau pallet. Di pasaran terdapat banyak jenis pallet  yang mengandungi pelbagai jenis dan warna . Lazimnya perbezaan pallet hanyalah pada kandungan proteinnya.

Pallet adalah makanan terbaik untuk ikan kelah sebab kandungan vitamin dan mineralnya yang seimbang dan dirumus khas untuk tumbesaran ikan. Untuk anak benih biasanya dicadangkan pilihan pallet yang sesuai adalah yang mengandungi kandungan protein melebihi 40%.

Selain itu ikan kelah boleh diberi makanan sampingan lain yang amat digemari kelah seperti buah kelapa sawit apatah lagi yang dibakar. Pastikan biji kelapa sawit di sulam pada dawai sebelum dicampak ke dalam kolam supaya mudah dikeluarkan sisanya kelak. Namun ia akan menyebabkan air kolam menjadi berminyak dan ini amat tidak sesuai untuk kehidupan ikan dalam kolam bersaiz kecil, apatah lagi akuarium.

Bagi ikan kelah yang diternak dalam sangkar sungai, anda boleh campakkan saja setandan buah kelapa sawit matang ke dalam sangkar anda. Air yang senantiasa mengalir di kolam sangkar ini tidak akan memudaratkan kehidupan ikan kelah di dalam sangkar.

Ikan kelah juga amat suka makan tumbuhan yang terapung terutama sekali keladi bunting. Tetapi tidak semua tumbuhan apung disukai ikan kelah. Tumbuhan kangkung juga digemari dan beberapa jenis bunga.

Kebolehan mengesan makanan kegemaran ikan kelah akan menjadikan ikan kelah kita cepat besar dan kita juga akan berasa lebih seronok dan puas hati melihat ikan membesar dengan baik.

Cara-cara Membiakkan Ikan Laga

LANGKAH PERTAMA: Kenalpasti Jantina
Cara nak kenalpasti ikan laga jantan dan ikan betina senang je. Biasernya ikan jantan ekor die panjang, warna lebih terang, dan lebih agresif. Tapi sekarang ni para penternak dah hasilkan betina yang ekor panjang dan warna yang terang. Jadi untuk kenal pasti ikan laga betina ialah melalui abdomen dan juga biji putih di bahagian anusnya. Tengok gambar kat bawah tu..nampak tak biji putih kat perut tu.
LANGKAH KEDUA : Pilih Induk Yang Matang
Untuk membiakkan ikan laga, anda mesti memastikan induk yang akan dibiakkan adalah matang. Ikan laga biasenya dah matang bila mencapai umur 4 bulan sekiranya diberi makanan yang secukupnya. Tapi anda boleh memerhatikan ikan laga tersebut.
Jantan
Induk jantan yang matang dan bersedia untuk membiak akan membuat buih di permukaan..tuh maknenya dia tengah ‘hot’ arr tuh.
Betina
Bagi yang betina pula, anda perlu perhatikan perut atau abdomennya. Induk ikan laga betina yang bersedia untuk dibiakkan mempunyai perut yang buncit dan terdapat biji putih di bahagian anusnya.
LANGKAH KETIGA: Sediakan Tangki Yang Sesuai
Bagi kaedah pembiakan, anda perlu menyediakan tangki yang selesa sekurang-kurangnya bersaiz 1 kaki x 1 kaki x 1 kaki. Anda boleh menggunakan macam-macam contohnya akuarium, baldi, dan sebagainya. Lagi besar lagi bagus kerana tangki yang besar boleh meningkatkan peluang anak-anak ikan untuk hidup. Masukkan air lebih kurang 4,5 inci dari dasar. Jangan letak air terlalu dalam, nanti payah induk-induk tu nak kutip telur. Dalam tangki tu kalau boleh letak la sikit perlindungan untuk induk betina macam kayu atau pokok kiambang. Mana tahukan kot-kot yang jantan ganas. Senangla induk betina nak menyorok bila kena kejar. Satu petua nak kongsi dengan anda semua, anda boleh meletakkan daun ketapang kering atau nama saintifiknya almond leaf ke dalam tangki tu..daun ketapang ni macam tongkat ali atau booster la untuk ikan ni..air akan jadi berasid dan sesuai untuk pembiakan..die lagi gersang..dan cepat membiak. Untuk meransang pembentukan buih oleh jantan, sebaiknya letak la polistrene atau kiambang untuk mengekalkan buih tuh sebab ikan akan suka buat buih di bawahnya.
Ni la daun ketapang, tapi jangan letak yang masih hijau lak. Letak yang dah kering.
LANGKAH KEEMPAT: Masukkan Induk Jantan Dahulu Dalam Tangki
Sebaiknya anda letak induk jantan dulu dalam tangki pembiakan. Induk betina ni anda masukkan dalam bekas kaca atau apa-apa bekas lutsinar (biar yang jantan boleh nampak). Lepas tu masukkan dalam tangki yang ada induk jantan tadi. Ikan ni tak boleh dilepaskan sekali dalam tangki kerana yela..nama pun ikan laga..nanti ikan tu akan berlaga. Kalau betina kalah takpe, tapi kalau induk jantan yang kalah maknanya anda kena cari calon suami lain la untuk dia. Jadi macam ni la caranya untuk mengelakkan dari ikan-ikan ni berlaga. Kena kenal-kenalkan diorg dulu.
LANGKAH KEEMPAT: Masukkan Induk Betina Selepas Induk Jantan Buat Buih
Sekiranya anda nampak induk jantan telah buat buih. Maknanya dia telah bersedia untuk mengawan. Buih tu sebenarnya adalah sarang. Selepas jantan buat buih masukkan la induk betina. Induk jantan dan betina nie sebaiknya dicampurkan atau dikahwinkan di awal pagi. Mula-mula anda lepaskan induk betina, induk jantan akan mengejar induk betina. Tapi jangan risau, sang jantan tu dah lama sangat mengidam kat induk betina tu. Biasanya menjelang tengahari ikan nie akan melakukan ritual peneluran..ikan jantan akan menari dengan mengibaskan ekornya, membelit betina dan mengutip telur dan memasukkannya ke dalam buih..’projek’ nie akan berlaku dari setengah jam hinga sejam..selepas ‘projek’ tu dah selesai, eloklah anda alih yg betina dan tinggalkan yang jantan sahaja..sebab jantan akan jaga telur dan anak-anak ikan nanti. Induk betina pula akan makan telur atau anak, tapi tak semua la induk betina akan makan telur atau anak. Jadi untuk selamat, lagi mudah anda asingkan je.
Telur tu akan menetas dalam masa 24jam hingga 36jam bergantung pada suhu semasa..sebaiknya letak di atas kayu atau rak..jangan letak atas simen..sejuk..mati ikan nanti. Selepas sehari anak ikan menetas, anda boleh samaada nak asingkan induk jantan atau tidak. Kalau anda tengok induk jantan ni makan anak, anda kena asingkan cepat-cepat. Tapi kalau tak makan, tak perlu asing la sebab induk jantan ni akan jaga dan pastikan tangki anda tidak dipenuhi jentik-jentik. Jentik-jentik ni boleh makan anak-anak ikan.
Ini la ritual bertelur
LANGKAH KELIMA: Penjagaan anak
Anak2 ikan laga perlu diberi makan selepas 3 hari mereka menetas, seeloknya rotifer disamping air hijau sebagai supplemen..kebaikan air hijau ni die akan melindungi badan anak ikan dari penembusan cahaya matahari yang boleh merosakkan mata dan organ anak ikan tersebut. Air hijau nie sebenarnya mengandungi phytoplankton bernama chorella secara majoritinya, tapi ada gak banyak species lain yg ada. Ia boleh didapati dari air ternakan ikan tilapia, ikan keli.
Selepas seminggu cuba ar dapatkan moina atau artemia untuk peringkat pemakanan seterusnya..ikan laga nie akan makan apa sahaja yang muat dengan mulutnye..satu lagi tips ikan laga nie akan lagi cantik dan cepat membesar jika diberi makanan hidup seperti jentik-jentik ataupun frozen blood worm.