ADS

Sabtu, 17 November 2012

Menanam Sayur Bendi




PENGENALAN

Bendi yang dipercayai berasal dari Afrika Utara ialah sejenis tanaman sayuran buah yang berlendir. Ia mudah di tanam dan kurang diserang penyakit dan perosak.

Buah dan bahagian-bahagian lain tanaman ini boleh
dipelbagaigunakan seperti buahnya boleh dibuat ulam dan dimasak dengan pelbagai cara; kari, salad dan
digoreng.

Buahnya juga boleh diproses iaitu ditinkan, dibekukan dan dijeruk dengan garam. Lendirnya pula
digunakan sebagai bahan pemekat untuk sos tomato. Di India, batang-batang bendi yang tua dijadikan kertas dan biji-bijinya yang tua dijadikan minuman harian menggantikan kopi.

PENANAMAN

Bendi boleh ditanam dikebanyakan jenis tanah seperti gembur berpasir, tanah liat, tanah gambut dan tanah-tanah lembah sungai yang bersaliran baik.

PENYEDIAAN TANAH

Bajak dan gembur tanah sedalam 15 cm hingga 22 cm. Buat pengapuran jika perlu iaitu 2 minggu sebelum menanam. Sediakan batas. Gaulkan ke dalam tanah baja organik seperti tahi ayam reput sebanyak 3 hingga 5 tan sehektar.

CARA-CARA MENANAM

Tanam biji benih sedalam 2.5 cm di batas. Pastikan dibubuh 2 biji selubang. Jarak tanaman yang disyorkan ialah 90 cm antara pokok. Selepas 2 minggu cabut satu pokok yang kurang subur. Sebanyak 11 gram biji benih diperlukan untuk satu batas berukuran 1.2m lebar dan 30 m panjang.

MEMBAJA

Tabur baja sebatian NPK Blue Special (12:12:17:2) di keliling pokok setiap 2 minggu. Untuk sehektar tanah, 1 tan baja diperlukan.

MENYIRAM

Siram sekali sehari pada waktu petang. Penyiraman penting di peringkat pokok mengeluarkan bunga dan
pembentukan buah.



MERUMPUT

Cabut rumpai jika perlu atau gunakan racun herba. Ikut arahan pada label racun herba tersebut.

SUNGKUPAN

Buat sungkupan daripada jerami padi, daun-daun kering ataupun kepingan plastik bagi mengawal rumpai dan untuk mengekalkan kelembapan tanah.

MEMANGKAS

Setelah semua hasil dipetik, pokok-pokok perlu di pangkas setinggi 40 cm hingga 60 cm dari paras tanah untuk mendapatkan hasil bagi kali kedua. Empat hingga lima tunas baru di biarkan menbesar selepas pemangkasan. Pemangkasan ini diikuti dengan pembajaan.

KAWALAN MUSUH DAN PENYAKIT

Musuh utama tanaman bendi ialah serangga dan perosak seperti ulat pengorek dan kepinding buah yang merosakkan buah-buah bendi pada semua peringkat pertumbuhan buah. Sekiranya serangan teruk, gunakan racun serangga seperti Diazinon.

Penyakit utama tanaman bendi ialah bintik daun yang terdapat pada adaun-daun tua di mana daun-daun ini kelihatan bertompok-tompok hatam dan berjelaga. Penyakit ini boleh di kawal dengan menyembur racun kulat Benomyl. Penggunaan racun-racun hendaklah mengikut arahan label.


PENUAIAN

Buah-buah bendi boleh dituai dengan memotong 2 cm dari pangkal buah. Elakkan dari tercedera kerana lendirnya akan keluar berterusan dan ini boleh menjatuhkan mut buah.

Penuaian mula dilakukan ketika:

a. 50 hingga 55 hari selepas menanam
b. 5 hingga 6 hari selepas bunga berkembang dan berlaku pendebungaan
c. Buah berukuran 10 hingga 12 cm panjang, iaitu buah-buahan masih lembut, hujungnya rapuh, senang
    dipatahkan dan belum berpulur.

Pada peringkat ini buah-buah telah mencapai kadar pertumbuhan yang paling tinggi dan hendaklah dituai supaya pokok-pokok bendi boleh terus mengeluarkan bunga-bunga baru dan seterusnya menjamin pengeluaran buah yang berterusan.

 Hasil dikutip setiap 2 hari sekali dan berterusan sehingga 8 minggu. Jumlah hasil di anggarkan 10 tan hingga 15 tan sehektar.

PENGENDALIAN LEPAS TUAI

Buah-buah yang telah dituai dikumpulkan ditempat teduh dan dimasukkan kedalam bakul ( plastik atau buluh) yang telah di alas dengan kertas atau plastik cerah yang berlubang. Ia hanya boleh di simpan selama 2 hingga 3 hari tanpa dibungkus dengan plastik. Sedikit air perlu di percikkan supaya pengudaraan menjadi lembap.

Buah-buah yang dibungkus dengan beg plastik boleh disimpan selama 7 hari hingga 8 hari dalam keadaan suhu 24oC hingga 26oC dan kelembapan bandingan 70 hingga 75 peratus.